Syor Kerajaan Negeri tubuh ‘taskforce’ syarikat, kilang hadapi COVID-19 disambut baik FMM Pulau Pinang

Admin

SEBERANG JAYA – Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Negeri Pulau Pinang, Datuk Jimmy Ong Chin Keng berkata pihaknya menyambut baik syor Kerajaan Negeri supaya semua syarikat dan kilang yang masih belum menubuhkan pasukan petugas protokol kecemasan bagi menghadapi COVID-19, supaya segera berbuat demikian.

Menurut beliau, sepatutnya ‘taskforce’ tersebut telahpun ditubuhkan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bukan Mac lalu, serta berada pada tahap kesiapsiagaan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang.

“Kita (FMM) bersetuju bahawa semua syarikat dan kilang harus menubuhkan pasukan petugas protokol kecemasan kerana ia juga mematuhi SOP (prosedur operasi standard) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Pasukan petugas bukan sahaja harus siap siaga, sebelum ada pekerja yang dijangkiti (COVID-19), malah, mereka juga perlu menyiapkan peraturan dan undang-undang untuk menguruskan pekerja (yang mempunyai tanda-tanda awal wabak) dengan menjejaki mereka serta (menyediakan tempat) kuarantin yang sesuai, mengikut panduan MITI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya menerusi balasan WhatsApp kepada Buletin Mutiara pada awal pagi tadi.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa sebilangan besar kilang sudah mempunyai pasukan petugas untuk menghadapi pelbagai kemungkinan ketika PKPB, sekarang.

Ini kerana, menurutnya, penubuhan pasukan protokol petugas kecemasan di syarikat dan kilang masing-masing adalah sebahagian daripada keperluan yang digariskan MITI.

“Semasa PKP dilaksanakan dulu, kilang diminta (menyediakan SOP seperti penubuhan pasukan petugas protokol kecemasan menghadapi COVID-19) untuk mendapatkan persetujuan MITI, sebelum memulakan operasi,” respons beliau lagi.

Pada 13 November lalu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menggesa penubuhan ‘taskforce’ berwajib di peringkat kilang dan syarikat demi memastikan usaha-usaha memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19 terutamanya di tempat kerja, berjaya dicapai.

Bagi tempoh 2 hingga 15 November 2020, menurut sumber KKM, jumlah kes positif COVID-19 di Pulau Pinang adalah sebanyak 610 kes.

Mengikut pecahan daerah pula, Seberang Perai Tengah sebanyak 38 kes; Timur Laut (159); Seberang Perai Selatan (292), Barat Daya (99) dan Seberang Perai Utara (22).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD