Pulau Pinang teruskan inisiatif bas percuma, galak lebih ramai guna pengangkutan awam

Admin

GEORGE TOWN – Dalam Bajet 2022 Pulau Pinang yang dibentangkan baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM10 juta bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara percuma kepada rakyat.

 

Melalui peruntukan tersebut, sejumlah RM4.5 juta diperuntukkan bagi meneruskan pembiayaan pas perjalanan tanpa had atau dikenali sebagai Pas Mutiara bagi tahun hadapan.

 

Zairil semasa sidang media yang diadakan di Komtar.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, inisiatif tersebut diambil oleh Kerajaan Negeri sebagai salah satu langkah proaktif untuk meringankan perbelanjaan seharian pengguna yang terjejas dari segi pendapatan akibat pandemik COVID-19.

 

“Maka, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menanggung pembiayaan perjalanan bagi 7,500 pelanggan terawal setiap bulan atau RM375,000 sebulan.

 

“Bagi pemegang Pas Mutiara sebelum ini, mereka hanya perlu memperbaharui secara percuma (di mana-mana kiosk Rapid Penang) dan RM50 akan dikreditkan secara automatik.

 

“(Manakala) pelanggan baru pula, inisiaitif ini boleh dilanggan oleh semua rakyat Malaysia dengan kadar bayaran RM10 sekali bayar iaitu RM5 untuk kad dan RM5 untuk isian nilai,” ujarnya kepada pemberita pada sidang media di Komtar pada 7 Disember 2021.

 

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Ketua Seksyen Pengangkutan, Dato’ Lim Hock Seng dan Ketua Operasi (Wilayah Utara) Rapid Penang, Ku Jamil Zakaria.

 

Dalam sidang media sama, Zairil turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk meneruskan perkhidmatan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT).

 

“Sebanyak 10 bas akan beroperasi mulai 1 Januari 2022 selama setahun yang mana jadual perjalanan akan dikekalkan seperti sedia ada iaitu antara 15 hingga 30 minit (waktu menunggu mengikut keadaan trafik).

 

“(Dan) susulan tajaan Pas Mutiara, Kerajaan Negeri tidak lagi membiayai perkhidmatan bas percuma CAT Seberang Jaya, namun perkhidmatan itu kekal beroperasi sebagai laluan biasa dan percuma untuk pengguna Pas Mutiara,” katanya yang yakin bahawa inisiatif Kerajaan Negeri ini berupaya menjadi daya penarik untuk menggalakkan rakyat Pulau Pinang beralih menggunakan pengangkutan awam.

 

 

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI