Pulau Pinang tetap ambil langkah proaktif cegah penularan wabak koronavirus meskipun negeri bebas wabak – Dr. Afif

Admin

BAYAN LEPAS – Pulau Pinang sentiasa dalam keadaan siap siaga dan mengambil langkah proaktif dalam mencegah penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV) meskipun negeri ini bebas daripada wabak berkenaan.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Pulau Pinang masih dalam keadaan selamat di mana sehingga kini tiada sebarang kes melibatkan nCoV dilaporkan di negeri ini.

“Sehingga kini tiada sebarang kes positif penularan wabak berkenaan di negeri ini dan diharap ia akan berterusan, malah pengumuman langkah pengantungan visa oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini juga dapat mengurangkan risiko wabak.

“Namun, kita telah mengambil langkah berjaga-jaga di mana Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah menambah bilangan petugas di pintu masuk utama dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dengan menggunakan alat pengesan haba.

“Ujian saringan ini penting bagi memastikan penumpang yang tiba tiada simtom wabak seperti demam, selesema dan batuk,” katanya kepada media sebelum mengadakan lawatan ke kawasan saringan PIA bersama-sama dengan Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib di sini semalam.

Turut mengiringi Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Pintu Masuk Antarabangsa Pulau Pinang, Dr. Izani Uzair Zubair.

Sebagai rekod, 8,967 pelancong China yang memasuki Pulau Pinang menerusi PIA pada 26 dan 27 Januari lalu telah menjalani saringan serta tiada yang dikesan mempunyai simtom wabak tersebut.