Tiga ‘Wira Oren’ terima penghargaan khas MBSP

SEBERANG JAYA – Tiga ‘Wira Oren’ menerima sijil penghargaan khas daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas bertindak menyelamatkan anjing liar yang cedera pada 17 Januari lalu.

Ketiga-tiga mereka adalah pemandu lori MBSP, S. Sasee serta dua Pembantu Awam, K. Muniandy dan Ahmad Zainol Alias.

Sijil disampaikan oleh Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud dekat Ruang Media Menara Bandaraya, di sini pagi tadi.

Rozali berkata, penganugerahan sijil berkenaan diberikan sebagai tanda penghargaan MBSP terhadap tindakan murni ketiga-tiga kakitangan terlibat.

“Oleh itu, semua warga MBSP dan orang awam adalah diharapkan dapat memupuk sikap dan budaya prihatin sesama manusia serta haiwan demi memastikan kehidupan yang lebih baik di Seberang Perai.

“Walaupun bukan pekerja MBSP tetapi sekiranya mereka (orang awam) melakukan sesuatu yang boleh menaikkan imej dan nilai murni Seberang Perai, kita akan bagi penghargaan,” jelasnya.

Turut serta Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta Ahli-Ahli Majlis MBSP.

Difahamkan, pada hari kejadian, S. Sasee yang sedang bertugas melihat seekor anjing liar tercedera berada di tengah jalan dekat persimpangan hadapan Tapak Pemindahan Sampah Ampang Jajar, Permatang Pauh.

Beliau kemudiannya meminta K. Muniandy untuk mengalihkan anjing tersebut ke tepi jalan, manakala Ahmad Zainol yang turut berada di lokasi membantu mengawal lalu lintas bagi memastikan keselamatan semasa mengalihkan haiwan tersebut.

Keprihatinan ketiga-tiga kakitangan terbabit turut mendapat pujian daripada orang awam yang melihat kejadian tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD RIADZ AKMAL RUSDANI