Pulau Pinang tetap teruskan skim penyelenggaran perumahan – Jagdeep

Admin
JAGDEEP Singh Deo (empat dari kiri) menyerahkan surat kelulusan permohonan TPM80PP kepada Lai Kwee Ying (tengah) sambil disaksikan pemimpin negeri lain di perkarangan rumah pangsa Taman Samak di sini pada pagi tadi.

DATUK KERAMAT – Skim penyelenggaraan rumah pangsa rakyat sedia ada di Pulau Pinang akan tetap diteruskan bagi tahun ini sungguhpun RM134.7 juta peruntukan yang dimohon oleh Kerajaan Negeri hari ini untuk pelaksanaan projek-projek berkaitan masih tidak disegerakan pada peringkat Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata pihak kementerian berkenaan sekurang-kurangnya wajar memaklumkan status permohonan tersebut kepada Pihak Berkuasa Negeri.

“Saya harap dapat maklum balas daripada pihak mereka.

“Sekiranya Pusat (Kerajaan Persekutuan) tidak mahu bantu (menerusi dua tabung penyelenggaraan berkaitan), kita (Kerajaan Negeri) akan tetap buat (kerja-kerja penyelenggaraan perumahan ikut kemampuan kewangan pada peringkat negeri),” jelasnya dalam sidang media berkaitan di kawasan perumahan pangsa Taman Samak di sini pada 7 April 2022.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri hari ini melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) telah meluluskan permohonan sejumlah RM116,400 untuk kerja-kerja pembaikan sistem perpaipan utama serta paip air terawat ke 45 unit kediaman Taman Samak.

Tambahnya, baki 20 peratus atau RM23,280 yang sepatutnya ditanggung oleh penduduk di kawasan perumahan berstrata tersebut, akan dibiayai oleh beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Pada majlis sama, Jagdeep sendiri menyerahkan surat kelulusan permohonan peruntukan TPM80PP kepada Pengerusi Perbadanan Pengurusan Taman Samak, Lai Kwee Ying, 67, sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; para pegawai Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) serta wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Jagdeep memberitahu bahawa sehingga kini sejumlah 32,582 kerja-kerja penyelenggaraan perumahan telahpun berjaya disiapkan oleh Kerajaan Negeri hari ini di kelima-lima daerah negeri dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM297.57 juta.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI