Sumbangan Ihya’ Ramadan, program imarah masjid kekal diteruskan di Pulau Pinang

Admin
MAJLIS Iftar Rakyat Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir di sini tadi.

PERMATANG PASIR – Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah teraju Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan sumbangan Ihya’ Ramadan kepada 246 masjid dan surau di seluruh negeri dengan peruntukan pada kali ini keseluruhannya berjumlah RM256,000.

Mengikut perincian, RM5,000 disumbangkan kepada Masjid Negeri, lima Masjid Daerah (masing-masing RM2,000) dan RM1,000 masing-masing kepada semua 207 masjid kariah, masjid jamek (13) serta ‘surau Jumaat’ (19).

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya berharap semua institusi berkaitan agama Islam akan terus menyemarakkan semangat harmoni di Pulau Pinang.

“Dengan peruntukan yang diberi, saya menaruh harapan tinggi untuk terus melihat institusi agama Islam terus kekal harmoni dan utuh, sekali gus memastikan usaha-usaha pembangunan ummah di negeri dapat direalisasikan dengan jayanya serta institusi masjid kembali menjadi penghubung perpaduan masyarakat khususnya orang-orang Islam di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam Majlis Iftar Rakyat Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang dekat sini 6 April 2022.

Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini juga memperuntukkan RM1 juta untuk program pengimarahan masjid-masjid di seluruh Pulau Pinang.

KETUA Menteri (tengah) diiringi Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kiri) menerima cenderamata daripada Muhammad Faiz Fadzil.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut berucap dalam majlis tersebut.

KETUA Menteri meramahi pemimpin wanita peringkat lokal dalam majlis berkaitan tadi.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat, beberapa ADUN dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhamad Sabu.

Serentak pada majlis sama, turut dilangsungkan acara penyampaian replika cek sumbangan kepada wakil beberapa masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD