Pulau Pinang tiada hasrat lantik pegawai pemantau dalam jawatankuasa kariah masjid, respons Exco Agama

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang setakat ini belum ada hasrat melantik seorang pegawai khas untuk menyertai tiap-tiap jawatankuasa kariah masjid di negeri ini demi memperkukuhkan pelaksanaan dasar Islam Rahmatan Lil Alamin, selain menangani anasir politik agama secara melampau yang membabitkan penyokong pembangkang.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberi respons itu sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

“Setakat ini Kerajaan Negeri tiada rancangan untuk melantik pegawai pemantau tapi pemantauan akan dilakukan oleh Jabatan (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, JHEAINPP) dan Majlis (Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP),” jelas Ahmad Zakiyuddin yang juga ADUN Pinang Tunggal dalam Sesi Soal Jawab Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 4 November 2019.

MUHAMMAD Faiz Fadzil.

Sebelum itu, Muhammad Faiz memberitahu dewan bahawa terdapat penceramah agama mesra parti-parti pembangkang Pulau Pinang seringkali menjadikan mimbar masjid untuk menyemarakkan semangat perkauman melampau terhadap Pihak Berkuasa Negeri.

Katanya, anasir tersebut boleh menjejaskan usaha Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memartabatkan kedudukan Islam dan umat secara keseluruhannya berdasarkan Islam Rahmatan Lil Alamin (Islam Sebagai Rahmat Ke Seluruh Alam).

Selain itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat turut memberitahu Muhammad Faiz bahawa sesi pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid ditangguhkan selama setahun, sehingga bulan April 2020.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI