Sekolah vernakular mesti dipertahankan, penerapan bahasa kebangsaan ditingkatkan – TKM II

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy menganggap kewujudan sekolah vernakular di tanah air ini sejak 31 Ogos 1957 bukan penghalang kepada perpaduan rakyat yang majmuk terutama membabitkan masyarakat India dan Cina.

Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi itu juga bagaimanapun berkata, usaha memupuk penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu di sekolah vernakular wajar ditingkatkan.

Beliau memberi respons kepada celahan Ketua Pembangkang, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua.

“Sama ada (kewujudan sekolah vernakular) ini menjadi penghalang perpaduan, saya tidak menganggap begitu (sebagaimana dibangkitkan oleh Muhamad Yusoff),” jelas Ramasamy dalam Sesi Soal Jawab Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 4 November 2019.


Muhamad Yusoff berkata semangat perpaduan kaum boleh wujud di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) apabila mula menerima pelajar-pelajar daripada kaum Melayu.

“Memang perlu lahirkan semangat perpaduan ini, maknanya kena ada kepelbagaian kaum, Alhamdulillah SJKC dan SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) telah ada pelbagai kaum, ada pelajar Melayu,” jelas Muhamad Yusoff.

Sebelum itu, Ramasamy yang juga ADUN Perai menegaskan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa sekolah vernakular adalah penghalang kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Tambah beliau, lebih 100 daripada 600 keseluruhan pelajar di SJKC Lay Keow dekat Permatang Pauh adalah berbangsa Melayu.

“Berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri, populasi murid sekolah vernakular di negeri Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu seramai 3,552 orang pelajar selain daripada bangsa Cina dan India.

“Ini menunjukkan bahawa sekolah vernakular merupakan salah satu platform bagi pembangunan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di Pulau Pinang dan Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, ADUN Bagan Dalam, M. Satees meminta Ramasamy menyatakan pendirian berhubung tindakan pihak pembangkang iaitu UMNO dan puak-puak tertentu yang mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular selepas 62 tahun Malaysia merdeka.

Bagi Satees, tindakan pihak pembangkang seolah-olah mencabar Artikel 12(1)(b) dan Artikel 152(1)(a) & (b) Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengiktiraf pembelajaran dan pengajaran bahasa ibunda kaum-kaum di Malaysia.

Ramasamy menegaskan Kerajaan Negeri komited menjunjung ketertinggian Perlembagaan Persekutuan sahaja.

Pada tahun 2019, Ramasamy memberitahu Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah menyalurkan sebanyak RM8.4 juta kepada Sekolah Mubaligh/Cina/Persendirian dan RM2.0 juta kepada Sekolah-Sekolah Tamil.

“Kerajaan Negeri turut memberi perhatian khusus kepada pendidikan Agama Islam menerusi peruntukan tahunan sebanyak RM2.5 juta bagi Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang disalurkan sehingga ke Maahad Tahfiz, Tadika-Tadika Islam dan Sekolah-Sekolah Pondok.

“Mulai tahun ini, sebanyak 170 buah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan turut menerima peruntukan sebanyak RM3.0 juta daripada Kerajaan Negeri untuk tujuan pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan memberi bantuan kepada semua jenis sekolah termasuk sekolah vernakular di negeri Pulau Pinang di bawah program bantuan pendidikan setiap tahun,” jelas Ramasamy lagi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI