Pulau Pinang tiada pilihan selain beralih ke kaedah WTE

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang alternatif selain terpaksa beralih kepada kaedah sisa buangan kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) demi memastikan kelestarian alam sekitar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Alumni Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Abdul Rahman Putra (EXTIPA).

“Sekarang, kita (Kerajaan Negeri) sudah mempunyai tanah khusus untuk tujuan ini tetapi isunya adalah apakah teknologi yang sesuai untuk digunakan bagi memproses sisa buangan.

“Kerajaan Negeri sememangnya tidak mempunyai alternatif selain penggunaan teknologi baru untuk memanjangkan hayat tapak pelupusan sampah yang ada di negeri ini,” katanya.

Difahamkan, kebanyakan negara maju sudah lama mengamalkan kaedah pengurusan sisa pepejal WTE seperti, Jerman, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Singapura yang mana ia memberi impak yang positif kepada kehidupan rakyatnya.

Terdahulu, Kon Yoew mengadakan pertemuan bersama-sama delegasi dari EXTIPA yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Sri Azmi Abdul Aziz.

Turut serta, Pengerusi Jamuan Makan Malam EXTIPA, Datuk Abdul Wahab Hamid; Mohd. Shahid Saidin (Setiausaha) dan Timbalan Presidennya, Ir. Fadhil Nuruddin.

Pertemuan kira-kira 30 minit itu turut membincangkan beberapa perkara berkait projek-projek melibatkan kepakaran dan teknikal seperti tambakan laut selatan pulau Pulau Pinang (PSR), pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) dan kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING