Kerajaan Negeri lulus projek selenggara lima unit lif di Taman Seri Hijau

Admin

BATU LANCANG – Sebanyak lima unit lif di Taman Seri Hijau dekat sini bakal diselenggara di bawah skim Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) pada Jun ini melibatkan kos RM385,000.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo bekata antara blok yang terlibat dengan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut adalah merangkumi blok 48, 50 dan 52.

“Kerajaan Negeri akan membantu melalui penyaluran dana TPM80PP yang mana 80 peratus dibiayai oleh Kerajaan Negeri manakala 20 peratus lagi oleh penduduk.

“Walau bagaimanapun, melalui peruntukan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer sebanyak RM77,000, penduduk tidak perlu mengeluarkan dana untuk kerja-kerja penyelenggaraan lif ini,” ujar beliau ketika mengadakan lawatan ke blok 48, 50 dan 52 di sini pagi tadi.

Selain Rayer, hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ketua Pegawai Bisnes Lembaga perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhurrazi Ibnu Omar serta Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

Jagdeep dalam pada itu, turut menggesa supaya Kerajaan Pusat melalui Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) menyalurkan lebih banyak bantuan kepada negeri Pulau Pinang bagi tujuan penyelenggaraan.

“Kita telah mohon sebanyak 198 projek (tujuan penyelenggaraan) kepada mereka hampir dua tahun, tetapi hanya 41 projek sahaja yang diluluskan.

“Jumlah itu membabitkan dana sebanyak RM134.7 juta tetapi yang lulus hanya RM8.4 juta bersamaan dengan 6 peratus.

“Kalau kita diperingkat negeri boleh buat kenapa mereka di Pusat tidak boleh buat… kalau tidak boleh tolong sekalipun sekurang-kurangnya berilah jawapan kepada kita,” kata ADUN Datuk Keramat itu lagi sambil menegaskan bahawa isu perumahan perlu diselesaikan kerana ia adalah keperluan asas rakyat.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR