Pulau Pinang tidak perlu LRA baharu jika terima air terawat dari Perak, respons Ketua Menteri

KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di lobi DUN Pulau Pinang pada 21 November 2023.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa secara prinsip tiada keperluan untuk membina sebuah Loji Rawatan Air (LRT) baharu dalam sempadan negeri Pulau Pinang jika Kerajaan Negeri Perak masih mengekalkan pendirian yang sama untuk membekalkan air terawat sahaja melalui Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) atau Projek Air Perak – Pulau Pinang.

Penjelasan Kon Yeow itu sekali gus menjawab pertikaian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng sebelum itu iaitu semasa berucap dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 21 November 2023.

“(Pembinaan LRA dalam sempadan negeri Pulau Pinang jika menerima air terawat sahaja dari Perak) itu adalah tertakluk kepada keputusan rundingan yang dicapai baru-baru,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam sidang media berkaitan di sini.

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, Pulau Pinang hanya memerlukan LRA baharu jika Perak bersetuju menyalurkan air mentah, seperti cadangan asal SPRWTS.

“Kalau Pulau Pinang terima air mentah, (maka perlu LRA) untuk rawat air mentah,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sebelum pada itu, Guan Eng turut berpendapat tarif air negeri Pulau Pinang dijangka meningkat jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang terpaksa membeli air terawat dari negeri Perak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS