Pulau Pinang tidak sentuh satu inci pun Hutan Simpanan Kekal, kenapa dikritik?

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Jawapan Bertulis Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di Dewan Rakyat Julai lalu sekali lagi menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang langsung tidak ‘menyentuh’ satu inci pun Hutan Simpanan Kekal dalam tempoh tahun 2006 hingga 2016.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika menyanggah tuduhan beberapa pihak kononnya terdapat aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpanan negeri ini.

“Saya berharap pihak yang cuba mempertikaikan komitmen Kerajaan Negeri memelihara dan melindungi Hutan Simpanan Kekal, mereka boleh melihat angka ini,” responsnya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mendedahkan jumlah keluasan usahasil dalam Hutan Simpanan Kekal bagi tahun 2006 hingga 2016 adalah sejumlah 411,188 hektar (ha).

Mengikut negeri, katanya luas kawasan usahasil terbesar adalah Pahang sejumlah 135,117 ha, diikuti Kelantan (82,891 ha), Perak (77,010 ha), Terengganu (50,469 ha), Kedah (27,896 ha), Johor (22,969 ha), Negeri Sembilan (10,095 ha), Selangor (4,551 ha) dan Melaka (190 ha). (Rujuk Lampiran A).

Pun begitu kata beliau, laporan statistik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mengenai keluasan Hutan Simpanan Kekal yang dilesenkan untuk pengusahasilan mengikut status tanah bagi tahun 2006 hingga 2015 berjumlah 544,011 ha. (Rujuk Lampiran B).

Menurut sumber jabatan berkenaan, Guan Eng memberitahu, luas kawasan usahasil terbesar adalah Pahang sejumlah 161,379 ha, diikuti Kelantan (157,919 ha), Perak (74,032 ha), Terengganu (61,741 ha), Johor (38,154 ha), Kedah (32,742 ha), Negeri Sembilan (11,740 ha), Selangor (5,882 ha), Melaka (255 ha) dan Perlis (167 ha).

“Mungkin ada pengeluaran warta Hutan Simpanan Kekal yang tidak dilaporkan kepada Majlis Tanah Negara, maka angka atau statistik ini bercanggah dan berbeza.

“Kedua-dua angka ini menunjukkan Pulau Pinang langsung tidak sentuh walau satu inci pun Hutan Simpanan Kekal di Malaysia,” tegasnya sambil menyatakan bahawa beliau akan menulis kepada kementerian berkaitan berhubung perbezaan perangkaan berkaitan.

Selain itu, Jawapan Bertulis Menteri kepada Guan Eng tersebut turut mendedahkan kes-kes pembalakan haram, jumlah tangkapan, kompaun dan ganti rugi di Semenanjung Malaysia dari tahun 2006 hingga 2016.