Pulau Pinang tubuh Tabung Covid-19 selepas terima RM2 juta komitmen sumbangan swasta dalam sehari – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, YAB Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan penubuhan Tabung Covid-19 Pulau Pinang selepas pihaknya menerima hampir RM2 juta komitmen sumbangan, dalam tempoh sehari, daripada sektor swasta demi menjayakan lagi kerja-kerja membela nasib rakyat yang terjejas dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa pihaknya tidak sangka akan mendapat reaksi serta komitmen yang begitu tinggi daripada beberapa pihak swasta tertentu, selepas berucap secara umum semalam dengan mempelawa mereka untuk bersama-sama membantu Kerajaan Negeri sepanjang tempoh PKP, yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

“Saya telah menerima banyak tawaran untuk sumbangan pihak swasta, dalam masa sehari ini sahaja sektor swasta terutamanya di Pulau Pinang telah memberi komitmen sumbangan hampir RM2 juta.

“Justeru, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan menubuhkan Tabung Covid-19 Pulau Pinang menerusi akuan di Maybank (dengan) nombor akaun 557054620930 bagi menerima sumbangan ke arah membantu sektor (rakyat) yang memerlukan bantuan di negeri kita.

“Saya berharap semua pihak dapat bersama-sama Kerajaan Negeri dalam usaha Penang Lawan COVID-19,” jelasnya dalam langsung di Facebook pada tengah hari tadi(26 Mac 2020).

Beliau memberitahu bahawa butiran lanjut mengenai akaun Tabung Covid-19 Pulau Pinang tersebut turut boleh dirujuk daripada laman web rasmi www.penanglawancovid19.com.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri dengan kerjasama wakil rakyat, persatuan penduduk serta badan pengurusan bersama (JMB) mula mengedarkan botol-botol pensanitasi tangan dan poster kempen kesedaran untuk kelompok rakyat di kawasan perumahan berstrata.

“Serentak itu, (dibuat adalah) penyerahan pensanitasi tangan dan termomiter infra merah kepada wira barisan hadapan kita membabitkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta pasukan-pasukan keselamatan (lain)… sejak awal minggu ini.

“Usaha ini akan diteruskan berdasarkan bekalan keperluan yang sampai dan diterima (oleh Pihak Berkuasa Negeri) secara berperingkat-peringkat,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada sebuah syarikat swasta tertentu yang menyalurkan sumbangan sarung tangan perubatan baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri telah menyalurkan 70,000 pasang sarung tangan perubatan kepada wira barisan hadapan di Hospital Pulau Pinang.

“Malah, turut disumbangkan 300 set pakaian pelindung keselamatan (oleh) pihak swasta, kepada Hospital Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Di samping itu, beliau turut mengulas mengenai kaedah penyaluran sumbangan-sumbangan di bawah RM75 juta Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang, yang akan melibatkan 15 kumpulan sasar serta lebih 400,000 penerima secara langsung.

“Kerajaan Negeri telah ada data hampir semua kategori yang terlibat, justeru, jangan bimbang, tidak perlu mendaftar (untuk mendapatkan sumbangan di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang) kerana wang akan disalurkan pada bulan April kepada anda semua.

“Kita (Kerajaan Negeri) sedar kemungkinan ada yang tercicir daripada pakej bantuan khas ini, (oleh itu,) Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30,000 kepada setiap ADUN termasuk ADUN pembangkang untuk digunakan sebagai dana bantuan kecemasan kepada rakyat di kawasan mereka.

“Dengan ini, saya menyeru agar wakil-wakil rakyat peka dan komited dalam mengenal pasti keperluan khusus (rakyat terjejas) di kawasan masing-masing, dan mengambil tindakan segera,” tegasnya.

Serentak itu, Kon Yeow turut mengumumkan agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan membuat pengumuman selewat-lewatnya pada 31 Mac 2020 berhubung proses permohonan Skim Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video: LAW SUUN TING