Pulau Pinang wajar dapat RM5.2 bilion peruntukan pembangunan dalam Bajet 2022 Pusat

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Pulau Pinang wajar menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM5.2 bilion dalam Bajet 2022 Pusat yang dibentangkan baru-baru ini.

Beliau berkata, jumlah itu wajar sekiranya mengambil kira sumbangan Pulau Pinang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara iaitu antara 6.7 hingga 6.9 peratus.

“Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion, dan daripada jumlah itu, RM75.6 bilion diperuntukan bagi perbelanjaan pembangunan.

“Namun begitu, anggaran peruntukan tahun 2022 yang diluluskan untuk negeri Pulau Pinang hanya berjumlah RM996 juta atau bersamaam dengan 1.3 peratus daipada peruntukan pembangunan.

“Sekiranya dibuat perbandingan secara terus dengan sumbangan KDNK, Pulau Pinang wajar mendapat peruntukan pembangunan berjumlah RM5.2 bilion iaitu perbezaan sebanyak RM4.2 bilion,” katanya sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14, di sini sebentar tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa walaupun keseimbangan pembangunan antara negeri dan wilayah adalah penting, namun Kerajaan Persekutuan sewajarnya mempertimbangkan peruntukan pembangunan lebih tinggi untuk Pulau Pinang.

“Sebagai negeri industri yang menyumbang kepada KDNK dan eksport, Pulau Pinang memerlukan lebih banyak projek infrastruktur.

“Jadi saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat berlaku adil kepada rakyat negeri Pulau Pinang dengan memberikan projek-projek pembangunan lebih daripada RM996 juta bagi tahun 2022,” tegasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD