Punca belum dikenal pasti, masih tunggu arahan & pengisytiharan Bomba bahawa bangunan Komtar selamat – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Lebih 2,000 penjawat awam dan warga kerja di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) terpaksa bergegas meninggalkan pejabat selepas sistem penggera kebakaran berbunyi sekitar jam 3 petang tadi.

 

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow ketika ditemui berkata, beliau serta barisan Exco Kerajaan Negeri dan ex-officio terpaksa menangguhkan Mesyuarat Exco dan menuruni tangga dari Tingkat 28 untuk berkumpul di bawah Komtar.

 

“Selepas kira-kira 10 minit bermesyuarat, terdengar alat penggera kebakaran berbunyi dan mesyuarat ditangguhkan segera.

 

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) sebentar tadi bahawa pihak Bomba masih belum dapat mengenal pasti punca terjadinya asap (kebakaran).

 

“(Dan) kini Bomba telah menambah keanggotaan bagi mencarinya dan disyaki ia berpunca dari salur alat hawa dingin,” ujarnya yang turut meninjau gerak kerja anggota Bomba di Jalan Penang.

 

KETUA Menteri ditemani barisan Exco meninjau gerak kerja pasukan Bomba di Jalan Penang.

 

Difahamkan, pihak Bomba masih belum mengeluarkan apa-apa arahan yang membolehkan penjawat awam dan warga kerja Komtar kembali ke pejabat buat masa ini.

 

“Kita masih menunggu arahan dan pengisytiharan pihak Bomba yang menyatakan bangunan ini (Komtar) selamat,” katanya.

 

Tinjauan Buletin Mutiara mendapati rata-rata penjawat awam telah dibenarkan pulang kira-kira jam 4:30 petang tadi selepas prosedur kebakaran dan pengiraan kakitangan dilaksanakan.

 

Tiga jentera Bomba turut kelihatan di hadapan bangunan ikonik Pulau Pinang setinggi 68 tingkat itu.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING