Pusat digesa perjelas status 2 projek penswastaan negeri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memperjelaskan status dua projek penswastaan mega melibatkan Pelabuhan Pulau Pinang dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth, Seberang Perai Utara kepada rakyat negeri ini.

Katanya, kedua-dua perkara tersebut penting demi menjamin vialibiliti operasi kewangan, pengurusan profesional dan masa depan Pelabuhan Pulau Pinang yang mampu berdaya saing dengan pelabuhan lain.

“Dengan kemasukan pelabuhan di antara yang terbesar di Malaysia, Pelabuhan Pulau Pinang memainkan peranan utama untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

“Oleh itu, demi prinsip akauntabiliti dan ketulusan, Kerajaan Persekutuan harus memberikan jawapan kepada rakyat Pulau Pinang atas kepentingan awam,’’ katanya dalam kenyataannya di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata demikian ekoran tiada jawapan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen (Dewan Rakyat) berkaitan projek-projek penswastaan berkenaan yang ditanya beliau menerusi soalan lisannya bertarikh 17 Jun lalu.

Berikut adalah soalan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dan jawapan yang diberikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Abdul Wahid Omar.

SOALAN :
Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta PERDANA MENTERI menyatakan status penswastaan mega Pelabuhan Pulau Pinang dan Pangkalan Tentera Udara di Raja Malaysia di Butterworth yang melibatkan jumlah puluhan bilion ringgit. Mengapa tidak ada akauntabiliti rasmi daripada pihak Kerajaan Pusat kepada rakyat Pulau Pinang sehingga UMNO pun membantah.

JAWAPAN: YB SENATOR DATO’ SRI ABDUL WAHID OMAR, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI 

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, Syarikat Seaport Terminal (Johore) Sdn. Bhd. (STSB) telah diperakukan sebagai pembida yang berjaya bagi cadangan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang melalui pemilikan ekuiti di dalam Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).

Rundingan mengenai termaterma perjanjian telah dimuktamadkan dan Perjanjian Tambahan (Supplemental Agreement) penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang telah ditandatangani pada 23 November 2013.

Antara obligasi yang perlu dilaksanakan oleh syarikat STSB di Pelabuhan Pulau Pinang adalah seperti berikut:

(i) menyediakan kemudahan pengangkutan feri untuk rakyat Pulau Pinang, khususnya yang berulang-alik pada setiap hari dari Butterworth ke Pulau Pinang (yang memerlukan kos yang besar, di mana Syarikat Seaport terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM16 juta pada setiap tahun);

(ii) mengambilalih kakitangan Pelabuhan Pulau Pinang;

(iii) mengambilalih beban hutang syarikat PPSB yang melebihi RM1.2 bilion;

(iv) menanggung kos pelaksanaan kerja-kerja pengerukan utama (capital dredging– dengan izin), dari 11.5 meter kepada 14.5 meter; dan

(v) membuat suntikan modal (cash injection – dengan izin) bagi menyokong pembangunan di pelabuhan berkenaan.

Pada dasarnya dalam penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang tidak timbul isu akauntabiliti memandangkan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang telah dilaksanakan secara tender terhad (restricted tender – dengan izin) dan keputusan Kerajaan untuk menswastakan Pelabuhan Pulau Pinang adalah berdasarkan pada pertimbangan komersial dan teknikal. Hasrat Kerajaan adalah untuk memastikan kesinambungan perniagaan dan pengoperasian Pelabuhan Pulau Pinang dapat diteruskan.

Di samping itu, pihak Kerajaan juga memiliki (Special or Preference Share – dengan izin) di dalam syarikat yang mana ianya secara tidak langsung dapat memastikan kepentingan Kerajaan dipelihara.

Tuan Yang di-Pertua,

Mengenai status projek Pemindahan dan Pembangunan Semula Pengkalan Udara (PU) Butterworth pula, difahamkan ia masih di peringkat kajian cadangan Kementerian Pertahanan.

Sekian, terima kasih.