TYT cadang tambah prasarana Masjid Bukit Bendera

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BUKIT BENDERA – Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas mencadangkan supaya menambah prasarana termasuk bangunan tambahan dibangunkan di kawasan sekitar Masjid Bukit Bendera.

Beliau berkata demikian dinyatakan kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Kepimpinan Negeri di Masjid Bukit  Bendera dekat sini baru-baru ini.

“Bangunan tersebut mencakupi ruang makan, ruang solat untuk wanita yang lebih selesa dan dewan khas untuk pelajar-pelajar tahfiz datang ‘retreat’ hujung minggu atau aktiviti mengaji beramai-ramai,” ulas Mohd. Rashid mengulangi cadangan TYT ketika ditemui sejurus selesai solat terawih berjemaah.

Mohd. Rashid memberitahu, TYT menyatakan cadangan berkenaan sewaktu berbual dengannya di majlis berkenaan.

Turut menyambut ketibaan TYT, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man, ADUN Sungai Bakap, Maktar Shapee, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus,  Mufti Negeri, Sahibul Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut meluangkan masa beramah-mesra dengan kira-kira 80 hadirin daripada pelbagai jabatan kerajaan termasuk jawatankuasa kariah masjid.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat terawih berjemaah.