Pusat Kesedaran Wanita lancar program ‘Cybersafety’ untuk sekolah

BERTAM – Bagi membendung masalah keganasan siber yang semakin membimbangkan terutamanya yang melibatkan golongan remaja, Pusat Kesedaran Wanita (Women’s Centre for Change, WCC) hari ini melancarkan program ‘Cybersafety’ untuk semua sekolah di negeri ini.

Pelancaran program disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid mewakili Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng bertempat di Dewan Seminar, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utama, di sini.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang itu merangkumi empat bahagian iaitu aplikasi chat, sexting, buli siber, penghendap siber serta buku panduan.

Syeerlena berkata, peningkatan kadar jenayah seksual membabitkan media sosial terhadap kanak-kanak menyebabkan tahap keselamatan golongan itu di negara ini berada pada tahap membimbangkan.

“Statistik PDRM (Polis DiRaja Malaysia) menunjukkan bahawa dari tahun 2014 hingga 2015, terdapat peningkatan kes sebanyak 200% iaitu daripada 60 kes kepada 184 kes telah dilaporkan.

“Dengan penggunaan Internet yang meluas dalam kalangan kanak-kanak, kadar jenayah seksual melibatkan media sosial berkemungkinan besar akan terus meningkat.

“Oleh itu, perkara ini harus dipandang serius dan perlu ditangani dengan kadar segera,” katanya ketika membacakan teks ucapan Chong Eng pada program perasmian sebentar tadi.

Turut berucap sebelum itu, Presiden WCC, Mariam Lim dan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Jamil Mohamed.

Mengulas lanjut, kata Syerleena menyedari hakikat tersebut, pihak WCC mengambil langkah menghasilkan pakej ‘Cybersafety’ yang boleh digunakan oleh guru-guru sebagai alat bantu mengajar kanak-kanak tentang keselamatan siber.

“Pelancaran pakej ‘Cybersafety’ pada hari ini akan disusuli dengan latihan ringkas kepada guru-guru tentang cara untuk menggunakan pakej ini.

“Oleh itu, saya sarankan agar guru-guru melaksanakan pendidikan keselamatan seperti program ‘Cybersafety’ ini kepada pelajar di sekolah masing-masing.

“Marilah kita sama-sama berusaha ke arah mendidik kanak-kanak menjadi bijak dalam menangani isu-isu keselamatan siber sehingga matlamat yang disasarkan mampu dicapai,” ujarnya lagi.

Mengikut statistik PDRM, sebanyak 82% kes rogol melibatkan kanak-kanak mendapati mereka mengenali perogol adalah melalui media sosial.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD