Pusat pertimbang permohonan Pulau Pinang bina lebih banyak PPR, respons Menteri

Admin

SEBERANG JAYA – Di sebalik isu 22 keluarga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, jumlah pemohon dalam senarai menunggu adalah sangat tinggi, sementara 999 unit kediaman sedia ada di Pulau Pinang adalah angka paling sedikit berbanding negeri-negeri lain.

Mengulas lanjut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, Kementeriannya memang dalam proses pertimbangan permohonan daripada Kerajaan Negeri berdasarkan beberapa bidang tanah yang telah dikemukakan sebelum ini untuk melaksanakan projek pemajuan PPR.

“Ya…kita akan membina (PPR), satu (tanah milik Persekutuan) di Kampung Kastam, Bukit Gelugor, dan sebidang tanah lain dekat Balik Pulau.

“Kedua-dua permohonan (Kerajaan Negeri untuk membina PPR) ini memang dalam pertimbangan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan perdana sempena sambutan Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat SP Arena pada 8 April 2019 di sini.

Turut serta, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

Justeru, Zuraida menyatakan bahawa Kerajaan Negeri harus terus berunding dengan semua pihak berkepentingan dalam isu PPR Taman Manggis sahaja dengan tanpa membabitkan jurucakap daripada pihak ketiga.

Tambah beliau, sepatutnya mereka yang berkenaan boleh cuba memohon skim sewa beli (Rent-To-Own) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam sedang media berasingan pada Rabu lepas, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang hilang kelayakan untuk mendiami unit PPR Taman Manggis kerana masih ramai lagi pemohon lain yang layak tapi Pulau Pinang tidak mempunyai cukup unit kediaman sewa PPR.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD