PVATM mohon pertimbangan Kerajaan Negeri sebuah bangunan bagi koordinasi aktiviti kebajikan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Pulau Pinang di pejabatnya dekat Komtar.

 

Yang di-Pertua PVATM Negeri Pulau Pinang, Mohd. Noor Yacub mengetuai delegasi hadir bersama-sama tujuh anggota exco lain, antaranya Timbalan Yang di-Pertua PVATM Negeri Pulau Pinang, Mohamad Saufee Hasan; Setiausaha Kehormat, Daeng Mustaffa Kamal Daeng Md. Ibrahim; Bendahari, Abdul Majid Othman; Ketua Penerangan, Mejar (B) TUDM Noor Rizan Yahaya dan Pengerusi Srikandi, Salbiah Ismail.

 

Dalam pertemuan yang berlangsung selama 45 minit itu, Mohd. Noor menyatakan penghargaan terhadap Ketua Menteri kerana sudi meluangkan masa dan berbincang mengenai bentuk kerjasama serta kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pulau Pinang.

 

Selaku Yang di-Pertua, Mohd. Noor turut menjelaskan mengenai struktur tertubuhnya PVATM selain memaklumkan mengenai program-program kebajikan serta kemasyarakat yang telah dan akan diadakan nanti.

 

Menyentuh isu kutipan Tabung Hari Pahlawan dan sambutan Hari Pahlawan yang diadakan saban tahun, Mohd. Noor menyuarakan hasrat memohon peruntukan geran tahunan khas bagi membela kebajikan warga PVATM di samping menambah baik pemberian bantuan.

 

Malah, Mohd. Noor menyatakan bahawa pihaknya sentiasa mendahului soal kebajikan bukan sahaja untuk veteran ATM, tetapi juga isteri-isteri veteran, balu dan anak-anak veteran.

 

Serentak itu, beliau turut meminta pertimbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memperuntukkan sebuah bangunan bagi tujuan mengkoordinasikan aktiviti kebajikan PVATM Negeri Pulau Pinang.

 

Mula ditubuhkan pada 22 Mei 1922, PVATM Negeri Pulau Pinang mempunyai keanggotaan berdaftar lebih 10,000 ahli dan masih cuba untuk menjejaki veteran-veteran terdahulu yang tidak berdaftar.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya akan melihat sejauhmana bantuan dapat diberikan kepada PVATM Negeri Pulau Pinang memandangkan ia tidak pernah dibangkitkan sebelum ini.

 

Selain itu, Kon Yeow turut mengalu-alukan untuk mengadakan pertemuan pada masa hadapan dengan melibatkan lain-lain anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan persatuan berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING