Transformasikan Tapak Warisan Dunia George Town sebagai kawasan mudah akses pejalan kaki – Datuk Bandar

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhasrat mentranformasikan kawasan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town sebagai kawasan mudah akses oleh pejalan kaki.

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, transformasi tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Induk Projek Penarafan Lorong Belakang bagi tempoh lima tahun.

“Dalam tempoh lima tahun ini, MBPP berhasrat untuk menjadikan kawasan di George Town ini sebagai kawasan yang ‘walkable’ (mudah akses untuk pejalan kaki).

“Antara usaha yang dilaksanakan adalah mengubah atau mentranformasikan sembilan kilometer (km) lorong belakang iaitu bersamaan dengan 10 ekar keluasan kawasan hijau dan istirahat.

“Usaha ini juga sejajar dengan visi Kerajaan Negeri ke arah manjadikan George Town sebagai kawasan rendah karbon dan hijau,” katanya ketika berucap pada Program Penglibatan Penduduk bagi Cadangan Menaik Taraf Lorong Belakang di Tapak Warisan Dunia George Town (Lebuh Armenian dan Lebuh Gereja) dekat Pusat Belia Lebuh Acheh, baru-baru ini.

TEH Lai Heng (kanan sekali) serta barisan tetamu kehormat turut tidak ketinggalan membuat bancian pada program berkaitan dekat Pusat Belia Lebuh Acheh baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng merangkap Setiausaha Politik kepada YAB Ketua Menteri; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali; barisan Ahli Majlis MBPP serta wakil perunding projek, Ar. Loh Mei Ee.

Mengulas lanjut, Tung Seang berkata, cadangan menaik taraf lorong belakang dekat Lebuh Armenian dan Lebuh Gereja akan menghakis stigma negatif masyarakat mengenai lorong belakang.

“MBPP mahu menjadikan George Town bukan sahaja tempat untuk didiami tetapi juga penuh keseronokan dan menjadi pusat pembelajaran.

“Diharapkan dengan penglibatan penduduk pada petang ini dapat memberi peluang untuk mereka memilih ciri-ciri pengindahan yang diinginkan.

“(Dan) pihak MBPP bersama-sama perunding projek akan duduk dan merangka pelan terperinci untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat ini,” ujarnya yang turut menyampaikan penghargaan kepada penduduk terlibat.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin berkerjasama dengan MBPP bagi menjayakan transformasi lorong belakang di kawasan George Town.

“Buat masa ini, pihak MBPP tidak menerima apa-apa tawaran untuk berkerjasama namun tetap berharap menjalinkan perkongsian secara PPP (Perkongsian Awam Swasta) pada masa hadapan.

“Jadi mana-mana pihak berminat boleh terus menghubungi pihak MBPP untuk menyatakan hasrat,” katanya lagi.

Difahamkan, terdapat tujuh ciri-ciri pengindahan yang diketengahkan untuk pilihan penduduk secara holistik iaitu kemudahan peralatan sukan, tumbuh-tumbuhan, permainan tradisional, taman permainan kanak-kanak, ‘graffiti wall’, teduhan dan aspek keselamatan seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan lampu jalan.

ILUSTRASI artis bagi Projek Pengindahan Lorong Belakang Lebuh Gereja.
CADANGAN penambahbaikan Lebuh Gereja.
REKA bentuk strategik bagi naik taraf Lebuh Armenian.
CIRI-CIRI penambahbaikan di Lebuh Armenian.
Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI