PYDC buka peluang bakat muda hasilkan mural untuk masa depan

PADANG KOTA- Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee percaya suatu hari nanti Pulau Pinang tidak lagi perlu bergantung kepada artis luar negara untuk menghasilkan mural terbaik di negeri ini.

 

 

Perkara tersebut diulas beliau apabila melihat kreativiti sukarelawan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) menyiapkan mural berkaitan polisi hijau Kerajaan Negeri di Astaka Medan Renong, Padang Kota semalam.

 

 

“Di Pulau Pinang saya percaya banyak bakat-bukat muda, sebelum ini tiada platform melukis, hari ini PYDC beri peluang kepda pemuda-pemudi Pulau Pinang tonjolkan bakat melalui lukisan mural.

 

 

“Untuk itu juga, PYDC turut bersedia untuk menerima permintaan kalau ada mana-mana komuniti di 40 Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang berminat menghasilkan projek mural boleh hubungi PYDC.

 

 

“Maka satu hari nanti saya percaya kita tidak perlu lagi bergantung kepada pelukis luar negara memandangkan PYDC sudah sediakan platform kepada bakat-bakat muda yang berbakat melukis,” ujar Lip Chee ketika menyempurnakan kerja mengecat lukisan mural di Astaka Medan Renong itu.

 

Hadir sama, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ir. A. Rajendran dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling.

 

Difahamkan seramai 80 orang sukarelawan belia di Pulau Pinang terlibat selama dua hari dalam menyiapkan mural di sekeliling astaka terbabit.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI