Pulau Pinang sasar raih RM5 bilion pelaburan tahun depan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mensasarkan menerima pelaburan sebanyak RM5 bilion pada tahun hadapan meskipun momentum prestasi pelaburan negeri pada tahun 2021 menjangkaui prestasi terdahulu yang sangat ketara iaitu RM76.2 bilion berbanding RM14.1 bilion pada tahun 2020.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, prestasi pelaburan amat bergantung kepada pusingan industri dan beberapa faktor termasuk pemberian insentif untuk pemain industri layak.

 

Purata pelaburan untuk Pulau Pinang dalam setahun adalah antara RM5 bilion hingga RM6 bilion, oleh itu kita (Kerajaan Negeri) meletakkan sasaran RM5 bilion untuk tahun hadapan meskipun sebelum ini (Pulau Pinang) pernah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM76.2 bilion (2021).

 

“Tambahan pula, tahun 2023 dijangka berkemungkinan menghadapi cabaran ekonomi ‘amat serius’ dan mungkin akan mempengaruhi pertumbuhan sektor pembuatan serta semikonduktor termasuk di Pulau Pinang,” ujarnya pada sesi pertemuan bersama-sama Pengarah Kastam Negeri, Hamisan Kalip di Komtar sebentar tadi.

 

DELEGASI Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Pulau Pinang mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri di Komtar.

 

Pada pertemuan yang berlangsung hampir 45 minit itu, antara isu semasa dibincangkan adalah berhubung prestasi industri Pulau Pinang dan permintaan pergudangan tinggi dalam kalangan pemain industri di negeri ini.

 

Menurut Kon Yeow, rantaian bekalan banyak mempengaruhi permintaan terhadap pergudangan di negeri ini.

 

Pulau Pinang memiliki rantaian bekalan yang kukuh ditambah dengan ekosistem industri yang kompetitif dan sihat.

 

“Perancangan untuk menambah jumlah gudang di Pulau Pinang turut dilaksanakan dan kini dalam proses pelantikan jururunding bagi cadangan pembangunan gudang di kawasan Batu Maung,” jelas Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi itu.

 

Difahamkan, Pulau Pinang memiliki lebih 40 gudang industri dan permintaan pergudangan bertambah meskipun berdepan dengan cabaran kekangan tanah.

 

“Ramai dalam kalangan pemain industri yang memilih untuk membangunkan fasiliti gudang di kawasan pulau kerana lebih dekat dengan lapangan terbang dan juga pelabuhan.

 

“Namun, kita (Pulau Pinang) menghadapi kekangan tanah, malah di kawasan Batu Kawan juga sudah penuh,” jelas Kon Yeow yang merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

HAMISAN Kalip (kiri) merakam foto bersama-sama Ketua Menteri usai pertemuan di Komtar.

Sementara itu, Hamisan memaklumkan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri di Zon Utara yang berprestasi tinggi dari segi pelaburan dan ekonomi selain negeri-negeri lain di Zon Tengah.

 

“Malah, kutipan hasil (oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, JKDM Pulau Pinang) untuk tahun 2022 juga meningkat sebanyak 30 peratus melibatkan cukai perkhidmatan industri.

 

“Selain itu, JKDM Pulau Pinang secara tidak langsung membantu memudah cara dengan memberi pengecualian cukai kepada industri-industri berlesen layak yang juga mempengaruhi pencukaian dan pusingan ekonomi,” katanya.

 

Menyentuh mengenai tenaga kerja, Kon Yeow dan Hamisan mengakui bahawa isu kekurangan tenaga kerja melibatkan beberapa sektor seperti sektor perladangan serta pembinaan mungkin akan terus berlaku dan memerlukan penyelesaian segera terutama dari segi dasar serta pelaksanaan pada peringkat Persekutuan.

 

Terdahulu, Hamisan hadir ke Komtar mengadakan kunjungan hormat terhadap Kon Yeow bersama-sama Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Bahagian Perkhidmatan Teknik), M. Durairajoo; Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Bahagian Cukai Dalam Negeri, SST), Chan Tek Kai; Penolong Kanan Pengarah Kastam I (Bahagian Perkastaman), Idrus Ahmad dan Penolong Kanan Pengarah Kastam I (Bahagian Khidmat Pengurusan), Mohd. Fariz Abu Bakar.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD