Raikan perbezaan pandangan dengan hujah balas secara tatasusila agar kemuliaan dewan terus terpelihara, dihormati & dipandang tinggi, seru TYT

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas menyeru semua warga kerja perkhidmatan awam, swasta dan rakyat negeri ini untuk sama-sama menggembleng tenaga serta daya fikir ke arah perancangan pembangunan berteraskan ‘people centric‘.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas Negeri Pulau Pinang dekat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pagi tadi.

Menurut Abdul Rahman, adalah menjadi suatu amanah besar yang harus dipikul Kerajaan Negeri dalam mentadbir negeri ini.

“Namun, tanggungjawab yang berat ini dapat diringankan sekiranya ia dilaksanakan dengan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan pimpinan negeri.

“Dalam perkara ini, saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian memiliki kekuatan untuk menggalas tanggungjawab tersebut dengan berkesan,” ujarnya.

Pada masa sama, Abdul Rahman turut menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat (yakni Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN), walaupun daripada parti pembangkang, sama-sama berusaha serta bergerak seiring dengan kerajaan untuk terus membela kehidupan rakyat dengan adil sama ada dari segi ekonomi, sosial dan lain-lain.

“Suka saya tegaskan bahawa dalam kepesatan pembangunan yang kita kecapi kini, mereka yang kurang bernasib baik tidak harus dilupakan.

“Saya berharap agar Kerajaan Negeri terus memberikan fokus kepada golongan B40 dan M40, terutama berkaitan kos sara hidup dan kediaman mampu milik.

“(Dan) dalam hal ini (penyediaan kediaman mampu milik), pihak swasta juga perlu tampil membantu Kerajaan Negeri untuk menangani isu tersebut dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” serunya.

YANG Di-Pertua Negeri, TYT Tun Dr. Abdul Rahman Abbas memeriksa kawalan kehormatan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas di sini, pagi ini.

Pada kesempatan itu juga, Abdul Rahman turut menasihati Ahli-ahli Yang Berhormat supaya meraikan perbezaan pandangan dalam perbahasan yang akan berlangsung pada 6 hingga 10 Ogos ini.

“Saya yakin, Dewan Undangan Negeri ini dapat menjadi medan menegakkan keadilan dan demokrasi serta menjadi saksi Ahli-ahli Yang Berhormat mengambil bahagian dalam perbahasan secara matang serta dapat merangsang dinamik berfikir secara berhemah serta bijaksana.

“Dalam mana-mana perbahasan, terdapat perbezaan pandangan dalam beberapa perkara, raikan perbezaan tersebut dengan hujah balas secara tatasusila agar kemuliaan dewan ini terpelihara, terus dihormati dan dipandang tinggi terutama oleh rakyat yang Ahli-ahli Yang Berhormat wakili.

“Saya percaya, Ahli-ahli Yang Berhormat akan sentiasa patuh dengan segala peraturan dewan, termasuk menepati masa supaya persidangan berlangsung dengan lancar,” serunya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, pasukan keselamatan khasnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta semua pihak yang terlibat ke arah pembangunan, keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negeri.

Beliau turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Pakatan Harapan kerana bukan sahaja berjaya mengekalkan pentadbiran negeri, malah juga (berjaya) mencipta sejarah di peringkat Persekutuan.

Terdahulu, Abdul Rahman berkenan memeriksa barisan kawalan kehormatan seramai 102 anggota yang disusuli dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ‘Untuk Negeri Kita’.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & NURAFIQAH ZAINUDI