Bas Percuma CAT untuk penduduk Seberang Jaya, mulai esok

Admin

SEBERANG JAYA – Kira-kira 30,000 penduduk di Seberang Jaya kini boleh memanfaatkan perkhidmatan bas perantara percuma CAT laluan kawasan berkenaan yang mula beroperasi mulai esok (4 Ogos).

Majlis pelancaran perkhidmatan bas berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin di tapak letak kereta pasar raya Billion dekat sini petang tadi.

Menurut Afif, bas CAT laluan Seberang Jaya menyediakan sebanyak enam buah bas dengan jarak perjalanan sejauh 16 kilometer bermula jam 6 pagi sehingga 10.30 malam setiap hari.

“Dengan adanya perkhidmatan bas percuma CAT ini diharap dapat mengelakkan penduduk daripada menggunakan kenderaan sendiri sekaligus dapat membantu mengurangkan penghasilan karbon.

“Oleh itu, saya berharap agar perkhidmatan ini akan berjalan lancar dan masyarakat dapat menggunakan bas ini dalam keadaan selesa,” ujarnya.

Difahamkan, bas perantara CAT (Congestion Alleviation Transport) Seberang Jaya merupakan laluan terakhir yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri selepas lima laluan sedia ada sebelum ini.

Perkhidmatan ini akan meliputi beberapa kawasan penting seperti Tesco Extra, sekolah, masjid, Hospital Seberang Jaya, Aeon Big, medan selera, pasar awam, pejabat kerajaan, klinik kesihatan, Penang Sentral dan banyak lagi.

Sebanyak enam buah bas disediakan bagi laluan berkenaan yang merupakan kedua terbanyak selepas laluan Air Itam dengan kekerapan 35 minit bergantung kepada keadaan trafik.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan perkhidmatan bas percuma CAT sebagai salah satu alternatif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini dengan pembiayaan sebanyak RM15 juta setahun.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS