“Rakyat ada mata untuk lihat, ada telinga untuk dengar dan hati untuk rasa siapa yang jaga rakyat”

AIR ITAM – Pemberian sumbangan penghargaan kepada warga emas bukan sekadar wang, namun ianya adalah penghargaan Kerajaan Negeri kepada 175,000 golongan tersebut yang banyak berjasa, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Katanya, respons tersebut diceritakan kepada beliau melalui seorang warga emas yang menerima bantuan tersebut sejak bayaran pertama pada tahun 2009.

“Yang penting bukan wang, tetapi penghargaan Kerajaan Negeri, dan kita (Kerajaan Negeri) ingat kepada mereka (warga emas). Apabila usia macam ini, kadangkadang masyarakat lupa kepada mereka (warga emas), bukan sahaja masyarakat, kadang-kadang keluarga pun lupa sama mereka (warga emas).

“Tetapi, Kerajaan Negeri tidak pernah lupa sama anda (warga emas) semua… dan oleh itu, sampai masanya tahun ini Kerajaan Negeri menaikkan bayaran (ini) kepada RM130 daripada RM100 sebelum ini,” ujarnya pada sidang media Majlis Penyampaian Sumbangan Program Penghargaan Warga Emas bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih dan Air Itam di sini 27 Januari lalu.

Menurut Guan Eng, adalah terpulang kepada rakyat untuk menilai sama ada serangan media pro Barisan Nasional (BN) selama ini kepada Kerajaan Negeri memberi impak atau tidak.

“Rakyat ada mata untuk lihat, ada telinga untuk dengar dan hati untuk rasa siapa yang jaga rakyat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Hadir sama, ADUN Air Itam, Wong Hon Wai.

Difahamkan, pembayaran Program Penghargaan Warga Emas Fasa 1 Tahun 2018 adalah melibatkan kos sebanyak RM22,652,110 bagi seluruh negeri Pulau Pinang.

“Ini semua adalah hasil urus tadbir cekap Kerajaan Negeri dengan lebihan belanjawan sebanyak RM89.2 juta seperti mana yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 baru-baru ini.

“Kerajaan Pakatan harapan juga nekad menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya menang ke Putrajaya sambil meneruskan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dengan formula sama di Pulau Pinang walaupun di sini kita tak kutip GST,” ulas Guan Eng.