Negeri berkebajikan, inisiatif pemasangan paip air 51 rumah penduduk seru lakukan ‘undi perubahan’ bagi KADUN Penaga dan Bertam

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI 

GEORGE TOWN – Sejumlah RM76,500 daripada Peruntukan Ketua Menteri disumbangkan bagi pemasangan paip bekalan air, yang sepatutnya ditanggung 51 keluarga sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam dan Penaga di sini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, masalah mendapatkan kebenaran tuan tanah untuk Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merupakan salah satu faktor terdapat keciciran rumah rakyat di sini daripada mendapatkan bekalan air rawat bersih.

“Saya minta maaf, bukan kerana kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP) tidak mahu memasang paip air, tapi kerana tidak dapat kebenaran daripada tuan tanah.

“(Selepas ini, kesemua 51 penerima terbabit) tidak perlu bayar kos pemasangan RM1,500 (setiap rumah) atau (kos keseluruhan) RM76,500, cuma tiap-tiap keluarga bayar RM100 cagaran serta RM30 duit setem.

“Saya rasa gembira, inilah negeri berkebajikan, kalau ada beberapa rumah lagi tercicir dapat bekalan air, kita
usahakan,” ujarnya dalam Majlis Lawatan Ke KADUN Penaga sempena Merasmikan Bekalan Air PBAPP Ke Kediaman
Penduduk-penduduk Setempat di sini 31 Januari lalu.

Turut berucap, Pegawai Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng serta Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Dr. Zaidi Zakaria.

Hadir sama, dua Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd Shaipol Ismail serta Hamizah Abdul Manap dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri, Asrol Sani Abdul Razak.

Sebelum itu, rombongan Ketua Menteri melawat beberapa rumah penerima projek pemasangan paip air PBAPP sekitar Kampung Kuala Bekah dekat KADUN Bertam.

Dalam pada itu, Guan Eng sekali lagi mengulangi komitmen bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dimansuhkan jika Pakatan Harapan menubuhkan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pasca PRU14 nanti.

“Rakyat bayar lebih termasuk GST kepada Kerajaan Persekutuan, tapi yang dapat adalah sangat berkurangan.

“Seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad cakap, kita akan hapuskan GST jika menang Putrajaya,” jelasnya.

 

BASRI ABDUL RASHID, 60, melahirkan rasa bangga kerana Ketua Menteri sendiri bertandang ke rumahnya untuk melihat sendiri bekalan air siap dipasang PBAPP.

“Saya nelayan, sudah lebih 20 tahun tinggal di sini, tapi tidak pernah dapat bekalan air.

“Sebelum ini, bekalan air ke rumah kami, kongsi meter air dengan rumah jiran, walaupun ada permohonan dibuat kepada kerajaan sebelum ini.

“Tapi, selepas dua bulan diproses oleh pegawai Kerajaan (Negeri) hari ini, siap dipasang bekalan air bersih,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Nada sama turut diluahkan oleh seorang lagi penerima, MOHD. ZAMRI MOHD. NOOR, 49, pengawal keselamatan. “Alhamdulillah, terima kasih, lebih kurang dua bulan sahaja terus dapat (pemasangan bekalan air bersih PBAPP).

“Masa BN (Barisan Nasional), lama dah kami minta (pemasangan paip bekalan air) tapi permohonan kita tak dilayan, minta sama pegawai di bawah Kerajaan Negeri Pakatan (Harapan) terus dapat,” jelasnya sambil merayu penduduk setempat melakukan ‘undi perubahan’ bagi KADUN Bertam dan Penaga.

Seorang suri rumah sepenuh masa, MAZLINDA MAT REZAB, 30, turut memuji pentadbiran Guan Eng kerana membantu mendapatkan kelulusan tuan tanah berwajib untuk pemasangan paip bekalan air bersih PBAPP.

“Suami kerja nelayan, saya suri rumah, tapi kami sekeluarga sudah duduk sini empat atau lima tahun dah.

“Permohonan dibuat selepas Hari Raya Haji dahulu, dua bulan sudah siap proses, sangat cepat.

“Sebelum ini, kami kongsi meter air, tapi sekarang terima kasih kepada Kerajaan Guan Eng, sebab biaya kos pemasangan paip ke rumah kami di kampung ini,” katanya.