Rakyat P.Pinang dinafikan RM132 juta

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNSatu laporan polis telahpun dibuat baru-baru ini mengenai Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang didakwa berhak menerima RM132 juta melalui penjualan kontrak konsesi Jambatan Pulau Pinang semasa tahun 1993.

Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu, Phee Boon Poh mendakwa, PDC yang sepatutnya berhak mendapat 15 peratus daripada penjualan konsesi itu langsung tidak mendapat sebarang bayaran sebelum ini.

“Saya membuat laporan ini supaya polis akan menyiasat sama ada (wujud) apa-apa unsur jenayah yang terlibat,” ujarnya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jalan Patani di sini pada 24 Mei lepas.

Beliau berkata, Jambatan Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBSB) sepatutnya mendapatkan reaksi PDC terlebih dahulu sebelum mengumumkan langkah melanjutkan tempoh kutipan tol dari 2018 ke 2038 memandangkan perbadanan itu salah satu pemegang saham berwajib.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang membantah inisiatif PBSB melanjutkan kadar tol walau atas alasan meluaskan jambatan pertama itu sekalipun.

“Kami (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) membantah keputusan PBSB ke atas peluasan (dengan melanjutkan tempoh bayar tol), yang bertentangan dengan kepentingan awam, terutama penduduk Pulau Pinang,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.

Ahli Lembaga Pengarah PDC yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng turut bersama-sama Boon Poh semasa laporan polis dibuat.

Bercakap pada sidang media yang sama, Hock Seng menjelaskan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 1993 telahpun mengarahkan syarikat konsesi bernama Mekar Idaman Sdn.Bhd. untuk memberi 15 peratus pegangan ekuiti kepada KerajaanNegeri Pulau Pinang melalui PDC.

“Pada tahun 1995, Syarikat Intria Berhad membeli lebih (kepentingan dari) Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. dan akhirnya mengambil alih kontrak konsesi Jambatan Pulau Pinang.

“Sebagai pemegang ekuiti 15 peratus (dalam) Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd., PDC ketika itu berhak mendapat (bayaran pada kadar) 15 peratus daripada jualan konsesi atau RM132 juta,” kata Hock Seng

Difahamkan, jambatan pertama yang dibina oleh kerajaan pusat itu menelan kos sebanyak RM943.54 juta.

Kerja-kerja penyelenggaraan jambatan itu kemudiannya diserahkan kepada LLM sejurus siap dibina pada 1 Jun 1982.

Tun Dr. Mahathir Mohamad  semasa menjadi Perdana Menteri telahpun melakukan beberapa langkah penswastaan aset kerajaan pusat, termasuk pemberian konsesi selama 25 tahun bermula dari 1 Oktober 1993 hingga 31 Mei 2018 kepada Syarikat Mekar Idaman.

Nilai konsesi yang dipersetujui oleh pentadbiran Dr. Mahathir semasa itu adalah sebanyak RM550 juta.

Pada tahun 1995, konsesi Jambatan Pulau Pinang itu berpindah tangan kepada Syarikat Intria Berhad pula sungguhpun EPU sejak tahun 1993 lagi telahpun mengarahkan 15 peratus ekuiti pemilik diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PDC.

Ini bermakna, PDC semasa itu mempunyai 15 peratus ekuiti atau 375,000 unit syer saham dengan kadar RM1.00 per syer sebagaimana yang ditetapkan pada 1 Februari 1994. Penyusunan semula keseluruhan kepentingan dari Mekar Idaman Sdn. Bhd. ke Syarikat Intria Berhad yang dimuktamad bermula pada tahun 1995, menurut harga belian semasa berjumlah RM880 juta.

Dari jumlah itu, pembayaran tunai sebanyak RM224,001,600. Manakala penerbitan saham biasa baru dalam Syarikat Intria Berhad pula sebanyak 157,036,642 unit dengan kadar RM4.05 sesaham.

Sehingga kini, hasil pungutan tol jambatan pertama berkenaan hampir mencecah RM176 juta pada setiap tahun. Dianggarkan angka hasil pengutan tol di jambatan tersebut melonjak sehingga RM5 bilion pada 31 Disember 2038 kelak.

Tuntas itu, unsur penyelewengan ekuiti yang didakwa wujud dalam konsesi Jambatan Pulau Pinang ini sehingga sekarang ini seolaholah memberi gambaran bahawa hak rakyat Pulau Pinang sedang dinafikan oleh kerajaan pusat.