Rakyat perlu terus kukuhkan perpaduan, pegang teguh perlembagaan negara – seru Kon Yeow

Admin

AIR ITAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru rakyat Pulau Pinang dan Malaysia khususnya agar terus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Seruan tersebut dilaungkan buat sekian kalinya memandangkan baru-baru ini terdapat pelbagai usaha untuk menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Menurut Kon Yeow, sebagai sebahagian daripada parti pemerintah di peringkat negeri dan Persekutuan, adalah menjadi tanggungjawab barisan kepimpinan untuk memastikan keharmonian kaum tidak terjejas serta masa depan Malaysia tidak tergadai.

“Ini termasuk memastikan keharmonian antara rakyat tidak dirosakkan semata-mata untuk memuaskan agenda pihak-pihak tertentu.

“Saya percaya apabila kita berpegang kepada jaminan yang termaktub dalam perlembagaan negara, apa saja perubahan yang ingin mengugat peruntukan berkaitan akan gagal sekiranya rakyat benar-benar berpegang kuat kepada janji-janjinya.

“Justeru, bukan sahaja rakyat, malah kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dan Persekutuan termasuk dari akar umbi seharusnya memainkan peranan serta tidak mudah terpengaruh dengan dakyah, dakwaan, fitnah dan berita palsu, sebaliknya terus berdiri kukuh dengan pucuk pimpinan,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Parlimen Bukit Gelugor dekat sini sebentar tadi.

Selaku tuan rumah, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh sambil ditemani Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu bagi Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam) dan Ong Ah Teong (ADUN Batu Lancang) ramah melayani tetamu yang hadir.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

Tambah Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menzahirkan rasa syukur ekoran semangat rakyat Malaysia masih kukuh apabila sambutan rumah terbuka Deepavali yang diadakan tersebut menerima sambutan daripada pelbagai bangsa, agama serta peringkat umur.

“Ini menunjukkan semangat Malaysia yang harus disokong dan diperkukuhkan lagi dari semasa ke semasa tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama, kita semua bersama-sama meraikan mana-mana perayaan di negara ini,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI