Sesi pendengaran bantahan Senarai Nilaian Baru 2020 bermula esok

jhdr

BATU LANCANG – Sesi pendengaran bantahan pertama  Senarai Nilaian Baru 2020 bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan akan diadakan mulai esok, 29 Oktober 2019.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sesi pendengaran bantahan tersebut akan diadakan oleh Jawatankuasa Bantahan Cukai Taksiran di lokasi terpilih di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

 

“Setiap pemilik harta yang telah membuat bantahan (terhadap Senarai Nilaian Baru 2020) akan dijemput melalui panggilan notis bagi menghadiri sesi pendengaran bantahan ini,” katanya pada sidang media sejurus meninjau keadaan pasca banjir di Jalan Van Praagh dekat sini, pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta wakil-wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa daripada 322,630 pemilik harta di bawah pentadbiran MBPP, sebanyak 16.88 peratus atau 54,459 orang telah mengemukakan bantahan.

 

Manakala bagi MBSP, ulasnya, sebanyak 12.42 peratus daripada 327,430 atau 40,666 pemilik harta terlibat dalam proses bantahan yang berakhir pada 14 Oktober lalu.

 

Bagi MBPP, sesi pendengaran akan diadakan di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama esok bermula 9:00 pagi membabitkan 60 pembantah pertama.

Bagi MBSP pula, 289 pembantah membabitkan pemilik pegangan kediaman bertanah akan hadir pada sesi pertama di Dewan Seminar, Kompleks Sukan MBSP di Bertam.

“(Dan) sesi pendengaran bantahan ini akan diteruskan sehingga Mac 2020 nanti,” ujarnya.

 

Difahamkan, hanya pembantah yang telah membuat bantahan sahaja sepanjang tempoh ditetapkan akan dijemput menghadiri sesi tersebut.

 

Bagi pembantah yang tidak dapat hadir, boleh mewakilkan melalui surat kuasa kepada wakil berkenaan. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan wakil berkenaan tidak dibenarkan mewakili kepentingan pembantah.

 

Sebagai rekod, sesi pendengaran bantahan akan dijalankan oleh Jawatankuasa Bantahan Cukai Taksiran di beberapa lokasi seperti yang tertera di notis panggilan. Antaranya di:

Majlis Bandaraya Pulau Pinang

i. Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama

ii. Bilik Perdana, KOMTAR

iii. Kompleks Sukan Balik Pulau

Majlis Bandaraya Seberang Perai

i. Kompleks Sukan MBSP, Bertam

ii. Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek

iii. Kompleks Sony

iv. Pejabat Cawangan MBSP Jawi

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI