Rakyat Pulau Pinang bakal nikmati limpahan pembangunan daripada Visi Penang2030, titah Yang di-Pertuan Agong

Admin

GEORGE TOWN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, setiap daripada rakyat di negeri ini bakal menikmati limpahan pembangunan hasil daripada pelaksanaan Visi Penang2030.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah, baginda percaya dengan kesungguhan ditunjukkan oleh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, wawasan tersebut akan berjaya dicapai.

“Pulau Pinang menunjukkan perkembangan ekonomi yang sangat positif seperti mana yang dinyatakan Ketua Menteri berkaitan (Visi) Penang2030.

“(Dan) yang paling ketara adalah kesejahteraan rakyat akan dapat dicapai dalam masa terdekat ini yang mana setiap daripada (rakyat) di Pulau Pinang dapat merasai limpahan pembangunan daripada Visi Penang2030,” titah baginda semasa berucap pada Majlis Santapan Malam Bersama-sama Kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini tadi.

Majlis santapan malam Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri diserikan dengan persembahan tarian oleh artis-artis Majlis Kebudayaan Negeri.

Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis tersebut.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri I, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri: Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli-ahli Ex-Officio Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta para ketua jabatan Kerajaan Negeri.

Titah baginda lagi, Pulau Pinang dilihat berkembang maju seiring dengan kepesatan pembangunan pada hari ini.

“Sepanjang lawatan dua hari ini, saya begitu kagum dengan kepesatan yang dikecapi oleh Pulau Pinang yang satu masa dahulu hanya sebuah pulau yang menjadi pusat pelabuhan dan pusat persinggahan pedagang sekitar abad ke-18.

“Tetapi melalui kunjungan saya ke beberapa tempat di sekitar Pulau Pinang, saya dapati pembangunan di negeri sangat pesat di samping kemudahan infrastruktur yang maju,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, Kon Yeow dalam ucapan beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan merancang pelbagai aktiviti di bawah Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Dato’ Abdul Razak Jaafar turut hadir memeriahkan majlis.

Tambah beliau, dengan menggariskan empat tema utama dan 16 strategik inisiatif, Kerajaan Negeri mensasarkan kemakmuran hidup sebenar dapat dinikmati rakyat, selain Pulau Pinang dikenali sebagai negeri paling hijau di negara ini dalam tempoh 11 tahun dari sekarang.

“Empat tema tersebut adalah meningkatkan taraf hidup serta kualiti hidup penduduk; mengembangkan saiz ekonomi demi meningkatkan pendapatan isi rumah; memperkasa rakyat demi mengukuhkan sistem masyarakat sivil dan pelaburan Kerajaan Negeri dalam pembangunan alam semula jadi agar lebih berdaya tahan.

“Pelan ini telah pun mula dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa tidak ada alternatif lain kepada pembangunan yang seimbang.

“Sektor ekonomi perlu dibentuk seiring dengan pemeliharaan planet serta alam sekitar kerana keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi serta perlindungan ekologi adalah matlamat ke arah negeri hijau,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS