Agong rasmi Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang dekat sini hari ini.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kira-kira jam 10.30 pagi disambut Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri I merangkap Exco Hal-Ehwal Agama Islam, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri serta para ketua jabatan kerajaan.

Turut serta, Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Amat Arif Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar dan mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid.

TYT menyampaikan cenderahati kepada Yang di-Pertuan Agong selepas baginda berkenan merasmikan Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang.

Seri Paduka turut berkenan menandatangani plak perasmian seterusnya melawati kamar perbicaraan kompleks kehakiman.

Yang di-Pertuan Agong semasa berucap sebelum itu bertitah supaya usaha meningkat dan menyebarkan syiar Islam di negara ini perlu diteruskan dengan sistem serba lengkap supaya dapat menjadi agama contoh serta dipandang tinggi.

“Dalam pada itu, perlu juga diadakan kerjasama yang erat dengan agama-agama lain supaya setiap rakyat yang dinaungi berada dalam keadaan hibah dan harmoni terutamanya dalam negara berbilang kaum.

“Kita semua harus berada dalam keadaan aman, sentiasa harmoni serta saling hormat-menghormati di antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa kerana Malaysia sudah dilihat sebagai negara contoh,” titah baginda.

Walaupun terdapat desas-desus mengenai masalah terpencil, tetapi baginda bertitah bahawa secara keseluruhannya ditadbir dengan sebaik mungkin.

“Saya berasa kagum kerana Alhamdulillah negara kita diuruskan dengan sebaik mungkin.

“Mungkin ada yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, saya rasa bangga dapat melihat keharmonian penduduk khususnya di Pulau Pinang,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM60.05 juta bagi institusi agama melalui belanjawan 2020 yang bertujuan mengukuhkan syiar Islam di negeri ini.

“(Dan) dengan tertegaknya bangunan yang baru ini (Kompleks Kehakiman Syariah), saya berharap agar penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat Islam di negeri ini dapat dilaksanakan dengan efisien serta selaras dengan visi, misi dan moto Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS