Rancang awal, elak masalah pewarisan hartanah – Exco

SOON Lip Chee

GEORGE TOWN – Kesedaran mengenai keperluan melakukan perancangan terhadap hartanah yang bakal diwariskan kepada generasi akan datang perlu terus dipupuk serta diperluas dalam kalangan muda-mudi terutama semasa negara masih berdepan pandemik COVID-19 dan pemulihan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mengulas lanjut, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa langkah sebegitu bagi membolehkan ibu bapa hari ini tidak lagi mengulangi kesilapan generasi terdahulu sehingga mengakibatkan hartanah termasuk simpanan duit ringgit dalam institusi kewangan berkaitan sukar dipindah milik kepada waris layak pada kemudian hari.

GAMBAR tangkap layar (screen capture) antara peserta yang menyertai ucapan Exco Belia dan Sukan dalam telesidang Program Kepentingan Perancangan Hartanah Untuk Belia pada 21 Ogos 2021.

“Segelintir masyarakat terutama warga emas berketurunan Cina masih tidak menamakan waris bagi perniagaan ataupun hartanah mereka atas kepercayaan bahawa tindakan sebegitu seolah-olah membawa maksud mereka sudah tidak mahu hidup atau sampai ajal.

“Walhal, sekiranya kita membuat perancangan pewarisan, pada masa hadapan kita mahu mengubah nama pewaris, ia boleh dilakukan lagi.

“Sehubungan itu, setiap orang terutama golongan belia perlu ada perancangan pewarisan apa jua jenis hartanah, ini penting supaya isu tuntutan hartanah oleh pewaris tidak terganggu pada kemudian hari apabila kita telah meninggal dunia,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan dalam telesidang sempena Program Kepentingan Perancangan Hartanah Untuk Belia di sini pada 21 Ogos 2021.

Menurutnya lagi, kegagalan melakukan perancangan terhadap hartanah juga akhirnya mengakibatkan wujud ‘waris berlapis’ yang mana keadaan apabila hartanah peninggalan seperti moyang tidak diagihkan, diwasiatkan atau dilakukan proses agihan menurut undang-undang berkaitan kepada anak-anaknya hatta mengakibatkan waris yang terkemudian sukar membuat tuntutan kerana perlu berjumpa atau mencari waris daripada kalangan generasi terdahulu untuk menyelesaikannya.

Di samping itu, Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal turut menjelaskan bahawa pelaporan Jabatan Akauntan Negara Malaysia mendedahkan kira-kira RM8.75 bilion masih tidak dituntut pada akhir tahun 2019, lebih tinggi berbanding hampir RM7 bilion direkodkan tak dituntut pada akhir bulan Oktober tahun sama, sungguhpun pelbagai usaha dilakukan oleh agensi kerajaan berkaitan.

Sehingga bulan Disember tahun 2019, beliau memberitahu bahawa Jabatan Akauntan Negara Malaysia direkodkan memulangkan kira-kira RM2.13 bilion sahaja kepada penuntut yang layak.

Bercakap pada sesi telesidang yang sama sebelum itu, Pengarah Urusan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling memberitahu bahawa pihaknya sendiri berpendapat kesedaran mengenai isu keperluan melakukan perancangan terhadap hartanah yang bakal diwariskan kepada generasi akan datang, dalam kalangan muda-mudi adalah masih rendah dan perlu disemarakkan lagi oleh Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan.

Seramai 133 perwakilan belia menyertai acara telesidang yang dianjurkan oleh PYDC, dengan menampilkan beberapa jurucakap seperti Paco Ya Chee Woo (Ketua Pegawai Eksekutif Onewill Wealth Advisory Sdn. Bhd.) dan Million Lo Wei Hong (Penasihat International Trust).

Lebih sejam perbincangan dan sesi soal jawab para peserta dan panelis antara lain turut menyentuh soal isu-isu berkaitan berdasarkan Akta Pembahagian 1958 (Pindaan 1997) dan Akta Pewarisan (Peruntukan Keluarga), 1971 serta kaedah faraid khusus melibatkan pewarisan hartanah dalam kalangan komuniti beragama Islam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : G. REVATIC