Rasuah mampu jadi barah, runtuhkan institusi – TKM I

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menzahirkan kebimbangan tentang msalah rasuah yang masih diamalkan oleh segelintir pihak.

 

 

Katanya, sekiranya perkara tersebut tidak dibendung, ia mampu menjadi barah dalam masyarakat dan meruntuhkan sesebuah institusi.

 

 

“Amalan rasuah sememangnya dilarang dalam agama Islam kerana kesannya amatlah besar kepada masyarakat ibarat penyakit barah atau sekam yang terbakar secara diam-diam dan seterusnya melahirkan masyarakat yang tidak berintegriti dan tidak amanah.

 

 

“Kebimbangan ini berdasarkan statistik tangkapan rasuah sehingga Oktober tahun 2021, sebanyak 404 kes daripada 894 tangkapan berkenaan rasuah di seluruh negara adalah melibatkan penjawat awam.

 

 

“(Dan) jumlah ini mewakili 49 peratus daripada keseluruhan tangkapan yang dibuat pada tahun ini sahaja,” tegas Zakiyuddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Anti Rasuah (SPAR) MS ISO 37001:2016 bagi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) dekat Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

 

 

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ahmad Rizal Hanapiah dan Ketua Hakim Syarie JKSNPP, Y.A.A, Dato’ Muhamad Abdul Karim Wahab.

 

 

Tambah Zakiyuddin, Kerajaan Negeri sebelum initelah  memperkenalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dalam membendung perebakan rasuah di kalangan penjawat awam.

 

 

 

“Sekiranya penyakit rasuah tidak dibendung dikalangan penjawat awam, maka akan timbul kepincangan dalam pentadbiran dan harapan rakyat untuk melihat keadilan ditegakkan tidak tercapai.

 

 

“Justeru, inisiatif JKSNPP melancarkan SPAR menjadi satu kebanggaan pada pihak Kerajaan Negeri.

 

 

“Ini kerana, institusi kehakiman adalah benteng akhir untuk menghapuskan rasuah dan kehakiman syariah adalah sebahagian daripada sistem perundangan keadilan di Malaysia,” ujarnya yang juga Exco bagi Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

 

Abdul Karim ketika berucap memberitahu, SPAR merupakan salah satu kaedah pencegahan bagi mengenalpasti, memahami dan menjauhi pelakuan rasuah, salah guna kuasa, percanggahan kepentingan dan tutntutan palsu.

 

 

 

Jelasnya, SPAR juga simbolik komitmen warga JKSNPP dalam menyokong hasrat Kerajaan Negeri membanteras pelanggaran integriti khususnya rasuah di samping memperkasakan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD