Raya paling bermakna selepas dua tahun pandemik COVID-19

Admin
SEBAHAGIAN anggota NGO Persatuan Warisan Wan Salam merakamkan gambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri sebelum berlangsungnya acara jamuan berkaitan di Pangsapuri Alimsah Waley di sini pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Selepas dua tahun tidak dapat pulang ke Pulau Pinang ekoran pandemik COVID-19, pada 2 Syawal 1443H, Persatuan Warisan Wan Salam kembali menganjurkan acara tradisi kenduri dengan menghimpunkan hampir 100 sanak-saudara daripada empat generasi di Pangsapuri Alimsah Waley dekat Lebuh Chulia.

KETUA Menteri (kiri) disantuni Md. Izzudin Idris sama sesi jamuan tengah hari di sini tadi.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan, Md. Izzudin Idris memberitahu bahawa majlis pada tengah hari ini bertambah istimewa apabila Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri sudi hadir sebagai tetamu utama.

“Selama dua tahun (sejak Mac 2020), kita tidak mengadakan acara tradisi ini, pada kali ini sanak-saudara dari negeri Selangor dan Johor pun turut pulang berhimpun kembali atas semangat kekeluargaan besar ‘ayah kami’ (Wan Salim).

“Lebih istimewa, adalah Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta beberapa kakitangan dari Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan (Pusat Khidmat Rakyat) Ahli Parlimen Tanjong juga turut hadir.

“Bagi saya, ini kebersamaan kita atas nama kekeluargaan serta cara kita sambut bulan ibadah (Ramadan) sebelum ini dan musim perayaan (Aidilfitri) dalam semangat harmoni komuniti di tengah-tengah Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 3 Mei 2021.

Selain jamuan dengan pelbagai makanan warisan keluarga, sekalian anggota NGO berkenaan turut mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan bersama-sama Kon Yeow dan para tetamu lain.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING