RCI Tabung Haji: Reezal gesa tindakan tegas, elak polemik politik demi lindungi keyakinan pendeposit

Admin
img 20260806 wa0054

BERTAM – Perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat pada 11 Ogos depan perlu menjadi medan untuk menegakkan akauntabiliti, bukannya pentas pertikaian politik yang boleh menggugat keyakinan jutaan pendeposit terhadap institusi kewangan Islam negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, dapatan RCI telah memberikan gambaran yang jelas bahawa terdapat pihak yang perlu dipertanggungjawabkan dan tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.

“Bagi saya, apa yang telah disebutkan dalam laporan RCI Tabung Haji itu adalah jelas, iaitu ada golongan yang perlu dipertanggungjawabkan dan ada golongan yang perlu menjawab.

“RCI ini akan dibahaskan pada 11 Ogos nanti,” katanya.

Menurut Reezal, perbincangan mengenai Tabung Haji tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek politik semata-mata kerana institusi itu membabitkan kepentingan hampir 9.7 juta pendeposit yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk penyimpan untuk tujuan menunaikan ibadah haji dan pelabur.

Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tahun lalu, sebanyak 53 peratus daripada keseluruhan pendeposit mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300, manakala kira-kira 33 peratus lagi memiliki simpanan antara RM1,300 hingga RM1,500.

“Ini bermakna sebahagian besar nilai simpanan sebenarnya tertumpu kepada kelompok pendeposit yang lebih kecil.

“Namun, apa yang lebih utama ialah memastikan majoriti pendeposit yang mempunyai simpanan rendah terus dilindungi dan tidak hilang keyakinan terhadap Tabung Haji.

“Kita perlu memikirkan kepentingan kedua-dua kumpulan ini, tetapi yang paling penting ialah menjaga mereka yang bergantung kepada Tabung Haji sebagai simpanan untuk menunaikan rukun Islam kelima,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengendalikan perbahasan RCI secara matang, berhemah dan bertanggungjawab agar tidak mencetuskan keresahan dalam kalangan pendeposit.

“Selesaikan perkara ini dan ambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Namun, pada masa yang sama gunakan pendekatan yang lebih baik dan lebih berhikmah supaya isu ini tidak memberi kesan negatif kepada Tabung Haji serta merugikan semua pihak,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS