BERTAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican menyasarkan seluruh kawasan Parlimen Kepala Batas dihiasi Jalur Gemilang menerusi pengagihan sebanyak 20,000 bendera sempena Program Semarak Jalur Gemilang yang dijadual berlangsung pada 23 Ogos ini.
Menurut beliau, program pengedaran yang diadakan di Taman Bertam Permata hari ini merupakan acara pemula (prelude) kepada pelancaran program tersebut dengan melibatkan pengagihan 200 helai Jalur Gemilang kepada premis perniagaan di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, inisiatif kali ini tampil berbeza apabila setiap Jalur Gemilang dibekalkan bersama batang atau kayu pemasangan bagi memudahkan orang ramai terus mengibarkannya tanpa sebarang kekeliruan.
“Kita bukan hanya mengedarkan Jalur Gemilang, malah membekalkannya sekali dengan batang supaya masyarakat hanya perlu menggantungkan bendera tersebut.
“Langkah ini diambil bagi memastikan pemasangan dilakukan dengan lebih mudah dan teratur, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Serahan Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2026 Parlimen Kepala Batas di Taman Bertam Permata, di sini.
Mengulas lanjut, Reezal berkata, pelancaran rasmi pada 23 Ogos nanti akan menyaksikan pengedaran sebanyak 20,000 Jalur Gemilang dengan penglibatan sukarelawan terdiri daripada golongan belia.
“Saya mahu melihat seluruh Kepala Batas diwarnai Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan.
“Selain menyemarakkan sambutan kemerdekaan, usaha ini juga bertujuan memupuk perpaduan dan mengukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang bersama menjayakan program berkenaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan belia, Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas serta wakil masyarakat Melayu, Cina dan India.
Menurutnya, penglibatan pelbagai kaum penting bagi mewujudkan rasa memiliki terhadap sambutan Hari Kebangsaan kerana ia merupakan milik seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Reezal memaklumkan pengedaran Jalur Gemilang lengkap bersama batang pemasangan merupakan yang pertama dilaksanakan di kawasan tersebut sebagai pendekatan baharu bagi meningkatkan keberkesanan kempen mengibarkan bendera.
“Kita perlu melakukan sesuatu yang berbeza. Jika kaedah lama tidak membawa perubahan yang diharapkan, kita perlu mencari pendekatan yang lebih praktikal dan membantu masyarakat,” katanya.


Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS