Reaksi umum terhadap 11 tahun pentadbiran PH di Pulau Pinang

Admin

Melangkaui 11 tahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir Pulau Pinang, sebahagian besar warga negeri memikirkan persoalan sama ada aspirasi kehidupan mereka dapat dipenuhi berdasarkan prestasi Kerajaan Negeri sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada 2008.

Berdasarkan pengamatan, banyak yang berasa puas hati dan lega terhadap apa yang dilakukan Kerajaan kini dalam menambah baik persekitaran, kebersihan dan lalu lintas. Usaha-usaha yang dilaksanakan selama beberapa tahun ini menyegarkan perasaan mereka untuk bersikap optimis terhadap masa depan negeri dan generasi akan datang.

Dalam pada itu, untuk menyaksikan Pulau Pinang yang lebih gemilang, sebahagiannya turut melontar pendapat untuk penambahbaikan di masa hadapan.

Wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF, NORSHAHIDA YUSOFF dan SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN mendekati masyarakat berbilang kaum dan peringkat umur untuk mengetahui pandangan dan aspirasi mereka terhadap pembangunan negeri.

APA KATA MEREKA?

Siti Masri Haini Abdul Malik.

SITI MASRI HAINI ABDUL MALIK, 34, suri rumah berpuas hati terhadap pemerintahan Kerajaan Negeri yang diterajui PH.

“Sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan, saya merasakan pentadbiran sekarang lebih baik dan berasa lebih selesa berbanding kerajaan terdahulu.

“Bagi saya, di Pulau Pinang masih dalam keadaan terkawal kerana sekolah-sekolah dan KAFA  di sini tidak mengenakan yuran yang mahal, hanya perlu bayar duit buku sahaja.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri tidak membebankan rakyat,” katanya ketika ditemui.

G. Devi.

Bagi G. DEVI, 61, yang sememangnya bergantung kepada pengangkutan awam untuk bergerak melahirkan rasa syukur kerana warga emas seperti beliau hanya perlu membayar separuh daripada harga tiket biasa.

“Harga tiket yang dikenakan adalah munasabah memandangkan kami pun tak bekerja. Namun, sistem masa ketibaan bas perlu diperbaiki, sekarang bas datang tak tentu masa dan kadang-kadang tiba serentak.

“Dan… jika bolehlah Kerajaan Negeri wujudkan peluang pekerjaan kepada warga emas yang masih mampu bekerja seperti kerja-kerja kebersihan, ini sedikit sebanyak mampu menampung kos kehidupan rakyat,” ujarnya yang turut berpuas hati dengan kebersihan persekitaran Pulau Pinang kini.

Aswirna Datuk Sukur.

ASWIRNA DATUK SUKUR, 31, Eksekutif Kanan Perhubungan Awam, berpendapat secara keseluruhannya Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang telah mentadbir negeri dengan baik sekali.

“Pulau Pinang kini berada di landasan yang baik,” ujarnya ringkas.

Mohd. Saiful Nazim Mohd. Idris

Sementara itu, MOHD. SAIFUL NAZIM MOHD. IDRIS, 34, seorang pekerja kilang berpendapat bahawa Pulau Pinang memperlihatkan peningkatan dari segi pembangunan dan kebersihan persekitaran.

“Dari aspek kebersihan dan pembangunan, saya lihat Pulau Pinang masih lagi baik dan terkawal,” maklumnya.

CHIA WENG SENG, 21, seorang jurujual pula berkata, beliau merasa selesa dengan corak pentadbiran Pakatan Harapan yang banyak memberi manfaat kepada rakyat.

Chia Weng Seng.

“Sebagai warga negeri, harus memberi sokongan dan ruang yang cukup kepada pemerintah untuk ekonomi.

“Di Pulau Pinang, apa yang kita lihat adalah keadaan rakyat bertambah baik berbanding di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu terutama dari segi pembangunan dan kebersihan.

“Saya harap Kerajaan Negeri terus memberi fokus kepada aspek ekonomi untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya,” responsnya.

Nada sama diutarakan oleh P. VASANTHY, 49, pengawal keselamatan yang menyatakan perasaan berbelah bahagi terhadap prestasi pentadbiran Pakatan Harapan sejak mentadbir negeri lebih 10 tahun lalu.

“Pada pendapat saya, keadaan kos sara hidup di sini masih lagi tinggi dengan harga barang juga semakin meningkat.

“Tetapi, apa yang saya suka dengan pentadbiran PH adalah layanan terhadap semua kaum adalah sama rata tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain berbanding dengan kerajaan terdahulu yang banyak memanipulasikan isu perkauman untuk tujuan politik,” katanya lagi.