Rebut ‘peluang kedua’ dalam PRU15, seru Kon Yeow

Admin

SEBERANG JAYA – Rakyat masih mempunyai ‘peluang kedua’ untuk melakukan perubahan dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Hari Pembuangan Undi, 19 November ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah itu akan menjadi kesinambungan kepada agenda perubahan rakyat yang tergendala dek Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020.

Kon Yeow yang juga calon PH bagi Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa lebih banyak kejayaan boleh dinikmati oleh rakyat sekiranya Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan tidak dijatuhkan oleh gabungan parti lawan.

“Walaupun kita (PH) kecewa dengan Langkah Sheraton, tetapi kekecewaan kita ada hadnya dan bukan kekecewaan selama-lamanya.

“Kita rasa kita sudah bangkit, kita perlu azam dengan menjadikan PRU15 sebagai peluang kedua untuk tawan Putrajaya.

“PRU15 adalah kesinambungan kepada perubahan yang telah berjaya dilakukan oleh rakyat pada tahun 2018 (PRU14),” jelasnya dalam Jelajah Mega Harapan Pulau Pinang yang dilangsungkan dekat kawasan parkir Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini pada 6 November 2022.

Calon PH bagi Tambun, Perak, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga calon Perdana Menteri PH; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Muhamad Sabu; Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berucap dalam ceramah umum tersebut.