Rehabilitasi dan pembangunan semula TPSJ cecah RM1 bilion, pertama di Malaysia

Admin

GEORGE TOWN – Tapak Pelupusan Sampah Jelutong yang dibangunkan pada tahun 1970-an bakal melalui proses rehabilitasi dan pembangunan semula dengan kos mencecah RM1 bilion.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan PLB Engineering Berhad (PLBEB) memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) bagi penutupan selamat dan pembangunan semula Tapak Pelupusan Sampah Jelutong (TPSJ).

 

“Perjanjian ini merangkumi tiga komponen utama iaitu projek penutupan selamat di Tapak Pelupusan Sampah Jelutong; penyediaan tapak baharu kekal bagi pelupusan sisa binaan (construction and demolition waste) serta marine clay dan pembangunan baharu di tapak yang telah direhabilitasi.

 

“Perjanjian hari ini juga menumpukan terhadap usaha Kerajaan Negeri untuk memulih dan menghijaukan persekitaran negeri Pulau Pinang selaras dengan Visi Penang2030.

 

CHOW Kon Yeow.

“(Dan) ia juga merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia melibatkan proses rehabilitasi dan pembangunan semula di tapak pelupusan sampah,” ujarnya pada sidang media di Komtar tengah hari ini tadi.

 

Kon Yeow yang mewakili Kerajaan Negeri menandatangani dokumen perjanjian berkaitan bersama-sama Pengurus Besar PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar dan Pengerusi Ekskutif PLBEB, Datuk Seri Ong Choo Hoon.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad  serta barisan ex-officio Kerajaan Negeri.

 

Pengarah Eksekutif PLBEB, Datuk Ong Guan Beng serta wakil PLBEB antara yang turut serta menyaksikan Majlis Menandatangani JDA berkaitan di sini.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa cadangan yang dikemukakan oleh PLBEB telah membolehkan syarikat berkaitan dipilih menerajui projek ini.

 

“Kerajaan Negeri telah mengiklankan Request for Proposal (RFP) pada 12 Mac 2015 dan ditutup pada 14 September 2015.

 

“Setelah melalui proses perolehan Kerajaan Negeri, Surat Setuju Terima telah dikeluarkan kepada PLBEB pada tahun 2017 dan sejak itu proses memuktamadkan JDA giat dilakukan.

 

KETUA Menteri (tiga dari kanan) bersama-sama Mohd. Bazid Abd. Kahar (tiga dari kiri) dan Ong Choo Hoon (dua dari kanan) menunjukkan dokumen perjanjian yang ditandatangani sejurus selesai majlis berkaitan di sini.

“Dijangkakan keseluruhan pembangunan di kawasan ini (TPSJ) akan mengambil masa 15 tahun yang mana proses bagi memperoleh kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil masa antara sembilan hingga 24 bulan.

 

“Ini tertakluk kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh perunding dan JAS berhubung impak sosial dan impak alam sekitar di kawasan sekeliling.

 

“Dijangkakan kerja-kerja fizikal bagi proses rehabilitasi tapak pula akan mengambil masa sehingga lima tahun sebelum disusuli dengan pembangunan semula di tapak tersebut,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

 

Difahamkan, kos keseluruhan proses rehabilitasi ditanggung sepenuhnya oleh PLBEB.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihak PLBEB perlu menyerahkan 25 peratus atau kira-kira 85 ekar tanah yang telah direhabilitasi kepada Kerajaan Negeri dan akan ditentu guna kelak.

 

“Selain itu, tanah tambahan antara lima hingga 10 ekar juga dijangka akan ditebus semula di kawasan pinggir tapak pelupusan tersebut bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dilaksanakan termasuk mewujudkan dinding sempadan, tambatan dan platform kerja.

 

“(Dan) 30 peratus daripada tanah tambahan itu juga perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

 

Menjawab soalan pemberita berhubung kelewatan memeterai perjanjian, Kon Yeow memberitahu bahawa terdapat banyak isu teknikal yang memerlukan perincian sebelum menandatangani JDA.

 

“PLBEB perlu mencari tapak alternatif untuk sisa binaan dan lempung laut (sejenis enapan lantai laut) atau marine clay yang mana tapak sementara dikenal pasti di Pulau Burung.

 

“Walau bagaimanapun, ia hanya boleh bertahan selama lima tahun dan tapak kekal perlu dibangunkan segera,” responsnya.

 

Sebagai rekod, tapak di TPSJ telahpun dibiarkan untuk stabil sejak tahun 2010 bagi tujuan rehabilitasi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD