ADUN mahu pemain bola sepak Kampung Baru Alma wakili Pulau Pinang & Malaysia

Admin

PADANG LALANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng berharap anak-anak muda di Kampung Baru Alma mampu mewakili pasukan bola sepak Pulau Pinang dan Malaysia lima tahun dari sekarang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Kejohanan Bola Sepak Tertutup 7 Sebelah di Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam baru-baru ini.

“Kita di sini dari jaguh kampung kita ke jaguh negeri, kemudian ke jaguh Malaysia dan seterusnya ke jaguh dunia.

“Asalkan kita rajin, kita berlatih, tentu boleh…jadi mungkin kita boleh adakan juga klinik bola sepak pada musim cuti sekolah supaya kita boleh menjemput pemain kelab-kelab bola sepak untuk menunjukkan cara-cara yang betul,” ujar Chong Eng yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam.

Pada kejohanan tesebut, tiga perlawanan persahabatan antara Akedemi Bola Sepak Kampung Baru Rangers menentang Seberang Jaya Tiger turut berlangsung.

“Saya diberitahu semua peserta adalah anak tempatan dan kejohanan ini adalah acara tahunan yang telah dijalankan hampir 11 tahun yang lalu.

“Justeru, saya berharap Kampung Baru Alma ini mampu menjadikan bola sepak sebagai ‘produk utama’ kampung ini,” sarannya.

Kejohanan Bola Sepak Tertutup 7 Sebelah dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Alma.

Sebanyak 10 pasukan dari Kampung Tengah, Pelanduk Jatuh, Parit Joget, Permatang Kilang, Kampung Seronok, Parit Alor, Kampung Bawah, Ceruk Padang dan Jalan Kilang Kicap menyertainya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN