Rejuvinasi kawasan lapang awam di bawah jejantas BORR berdasarkan idea penduduk – Ir. Rosnani

BAGAN DALAM – Mungkin Pertandingan Idea Reka Bentuk Untuk Kawasan Lapang Awam Perbandaran Di Bawah Jejantas Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) yang julung kali dianjurkan di negeri ini, merupakan pertama seumpamanya di Malaysia.

Setiausaha Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmood berharap inisiatif terbaru itu akan mempercepat lagi usaha merejuvinasi ‘bandar lama’ Butterworth yang lebih dikenali sebagai Bagan dalam kalangan penduduk di Seberang Perai.

“Kolaborasi antara pelbagai agensi serta organisasi awam dan juga swasta merupakan contoh cemerlang dalam memperkasa projek-projek fizikal… untuk memulihkan dan meremajakan Bandar Butterworth.

“Pertandingan ini diharap memupuk pemikiran kreatif dalam kalangan penduduk (selain) menggalakkan reka bentuk idea yang memenuhi keperluan komuniti di kawasan tersebut (Bandar Butterworth),” jelasnya ketika merasmikan Majlis Pameran Enam Finalis ‘BORR Design Idea Competition’ yang merupakan inisiatif terbaru di bawah Program Butterworth Baharu pada 24 April 2019.

Wakil Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Charles Teo; Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hartanah, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Sentral Properties Sdn. Bhd., Raymond Cheah; dan Pengarah Urusan Think City Sdn. Bhd.(Thing City), Murali Ram turut berucap dalam majlis ringkas yang dilangsungkan di kompleks terminal pengangkutan awam bersepadu Penang Sentral, di sini.

Terdahulu, MPSP bersama-sama ILAM dan Think City pada 5 November 2018 melancarkan pertandingan tersebut secara dalam talian.

Sejumlah 157 penyertaan berdaftar dari seluruh negara, namun, juri yang dilantik oleh penganjur bersama telahpun memilih enam finalis sebagai pemenang, untuk dibawa dalam pameran awam di Penang Sentral, bermula pada hari ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS