Mangsa ribut Kampung Besar terima bantuan

Dr. Afif bahardin menyerahkan bantuan daripada Tabung Bencana TYT kepada mangsa terlibat

SEBERANG JAYA – Tiga keluarga yang terlibat dalam bencana ribut dekat Kampung Besar di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya menerima bantuan menerusi Tabung Bencana Tuan Yang Terutama (TYT).

Rumah penduduk Kampung Besar yang rosak akibat ditimpa pokok dalam kejadian ribut baru-baru ini.

Bantuan berbentuk wang tunai tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkaitan, Dr. Afif Bahardin, semalam.

Selain Tabung Bencana TYT, mangsa-mangsa terlibat juga menerima sumbangan daripada peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat ADUN Seberang Jaya serta Pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Menurut Afif, jumlah bantuan yang diberikan adalah berdasarkan nilai kerosakan yang dialami mangsa.

“Kita juga sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) untuk membantu beberapa lagi keluarga yang terlibat dalam bencana ribut baru-baru ini,” katanya.

Kerosakan pada bumbung rumah.

Difahamkan, kejadian ribut baru-baru ini telah mengakibatkan 12 buah rumah di kawasan terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung selain struktur rumah runtuh akibat ditimpa pokok.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN