RELA Pulau Pinang nyatakan kesudian bantu Kerajaan Negeri dalam apa jua keperluan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Basiran di pejabatnya di Komtar.

Kehadiran Abdul Rashid diiringi anggota delegasi lain, Pegawai Bahagian Operasi dan Keanggotaan RELA Pulau Pinang, Abd. Malek Md. Nooh; Pegawai RELA Daerah Seberang Perai Tengah, R. Chitra; Pegawai RELA Daerah Seberang Perai Selatan, Mohd. Rizal Mohd. Radzi dan Penolong Pegawai RELA Logistik/Persenjataan, Mohd. Ridzuan Mohd. Mustafa.

KETUA Menteri mengalu-alukan kedatangan Pengarah RELA Pulau Pinang ke pejabatnya di Komtar.

Dalam pertemuan tertutup itu, antara isu yang dibincangkan adalah pengukuhan hubungan dua hala antara RELA dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Selain itu, Abdul Rashid turut memaklumkan mengenai sejarah penubuhan RELA, hala tuju, matlamat, komponen dan bidang tugas.

Difahamkan, RELA yang diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal membuat penstrukturan semula bagi memantapkan lagi peranan serta bidang tugas anggota-anggota RELA seluruh negara.

Di Pulau Pinang, kata Abdul Rashid, terdapat kira-kira 232,000 anggota RELA sama ada secara aktif mahupun tidak.

Beribu pejabat di Wisma Persekutuan Seberang Perai Utara, beliau turut menyatakan penghargaan kepada pimpinan Ketua Menteri serta kesudian membantu Kerajaan Negeri dalam apa jua keperluan sama ada di peringkat komuniti mahupun negeri.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD