2,700 kekosongan jawatan ditawarkan pada Karnival Kerjaya KADUN Jawi, 3 Mac

Admin

JAWI – Kira-kira 2,700 kekosongan jawatan bakal ditawarkan oleh 30 majikan yang mengambil bahagian dalam program Karnival Kerjaya kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi pada 3 Mac ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Jason H’ng Mooi Lye berkata, program anjuran Pejabat Tenaga Kerja Butterworth bersama-sama Pusat Khidmat ADUN Jawi itu akan berlangsung di Pasar Raya C-Mart dekat Nibong Tebang mulai jam 10:00 pagi hingga 4:00 petang.

“Pada tarikh tersebut, sebanyak 2,700 kekosongan jawatan ditawarkan oleh majikan-majikan yang mengambil bahagian kali ini melibatkan pelbagai jawatan daripada operator pengeluaran sehingga pegawai pentadbiran.

 

Antara syarikat yang bakal mengambil bahagian dalam Karnival Kerjaya KADUN Jawi, 3 Mac ini.

“Justeru, saya amat mengharapkan anak-anak muda yang memerlukan pekerjaan serta graduan tamat pengajian daripada institusi pengajian tinggi awam atau swasta mengambil peluang dengan menghadiri temuduga terbuka pada hari tersebut dan memilih jawatan yang sesuai,” katanya pada sidang media di sini pada 23 Februari lalu.

Dalam pada itu, Pengarah Tenaga Kerja Negeri Pulau Pinang, Mohd. Sazali Keteh memberitahu bahawa daripada jumlah kekosongan tersebut, hampir 1,000 jawatan yang ditawarkan adalah melibatkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Sehingga semalam (22 Februari), 23 majikan telah mengesahkan jawatan yang akan ditawarkan yang mana hampir 700 jawatan adalah untuk jawatan peringkat tinggi.

“Peringkat tinggi merujuk kepada juruteknik, pegawai tadbir dan ke atas yang sesuai untuk pemegang-pemegang sijil kemahiran, diploma serta ijazah manakala selebihnya adalah untuk peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah,” ujarnya lagi.

Difahamkan, pada penganjuran kali pertama program yang sama tahun lalu, seramai 816 pemohon berjaya mendapat pekerjaan yang mana 583 pemohon adalah bagi kategori siswazah dan 233 lagi daripada kumpulan bukan siswazah.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF