RFP sistem parkir pintar lanjut sehingga 3 Sept. – Jagdeep

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu, tempoh pelawaan tawaran Request For Proposal (RFP) Sistem Parkir Pintar merangkumi seluruh negeri Pulau Pinang yang sepatutnya berakhir pada 22 Ogos ini, dilanjutkan sehingga jam 12 tengah hari 3 September 2018.

“Ini adalah bagi memastikan dokumen RFP yang dikemukakan nanti adalah berkualiti dan berupaya menepati kehendak serta objektif Kerajaan Negeri, untuk melaksanakan sistem pengurusan tempat letak kereta yang terbaik,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam sidang media di Komtar pada 15 Ogos 2018.

Pada 30 Julai lalu, Jagdeep menjelaskan bahawa sebanyak 121 syarikat menyertai sesi taklimat mengenai proses bidaan yang bakal dibuat, dan sehingga 14 Ogos 2018 jam 5 petang, sebanyak 98 syarikat membeli dokumen RFP berwajib.

“Sambutan yang diberikan terhadap sesi taklimat tersebut adalah sangat menggalakkan,” katanya.

Sehingga kini, sistem parkir di bahagian pulau adalah menggunakan kupon dan sistem prabayar berelektronik (SPG), manakala sistem berkupon sahaja di bahagian Seberang Perai.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALVIE CHENG

Video : LAW SUUN TING