RM1.038 juta duit jaminan kes Guan Eng disalur ke Program Biasiswa Penuh PFF

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Jagdeep Singh Deo mengumumkan pemberian sumbangan wang berjumlah RM1.038 juta kepada Program Biasiswa Penuh Penang Future Foundation (PFF).

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil disaksikan oleh barisan pimpinan DAP dan Kerajaan Negeri.

Jagdeep berkata, wang tersebut adalah berasal daripada bon jaminan mahkamah membabitkan kes mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di mahkamah.

“Wang jaminan terhadap beliau (Guan Eng) sejumlah RM1 juta termasuk faedah dikumpulkan yang membawa kepada angka besar iaitu RM1.038 juta telah diputuskan DAP Pulau Pinang untuk diagihkan kepada PFF.

“PFF merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang dilancarkan pada tahun 2015 bertujuan membantu pelajar-pelajar di negeri ini yang cemerlang untuk mengikuti pengajian dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik, perakaunan dan kewangan di instituti-institusi pengajian tinggi.

“Oleh itu, melalui sumbangan dana ini diharap dapat membantu Pulau Pinang menjadi sebuah negeri pintar, hijau dan berteraskan keluarga yang menginspirasikan negara,” katanya pada sidang media dekat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu dan Senator, Lim Hui Ying.

Bercakap pada sidang media sama, Phee Boon Poh yang merupakan penjamin dalam kes tersebut (Guan Eng) memberitahu bahawa dana tersebut adalah wang awam yang bertujuan untuk membela Guan Eng.

“Oleh kerana melibatkan terlalu banyak birokrasi mahkamah, jadi wang yang dimasukkan ke dalam akaun saya tidak dapat dipulangkan kepada penderma dan kami memutuskan untuk menyalurkannya kepada PFF demi manfaat rakyat,” ujarnya yang juga Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS