RM10 juta diperlukan untuk baik pulih 22 sekolah di Parlimen Bagan dalam tempoh 5 tahun – Guan Eng

BAGAN DALAM – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menganggarkan kira-kira RM10 juta diperlukan dalam masa lima tahun untuk menaik taraf 22 buah sekolah di kawasan Parlimen Bagan.

Jelasnya, perkara tersebut amat penting untuk membawa perubahan kepada rakyat seperti yang beliau sebutkan ketika membentangkan Belanjawan 2020 dekat Parlimen baru-baru ini.

“Saya perhatikan banyak kemudahan asas, banyak bangunan, banyak infrastruktur diabaikan lebih 15 tahun, tak payah cakap tentang sekolah, tengok balai (polis) Bagan, sungguh memalukan sehingga satu tingkat sahaja boleh digunakan.

“Dan sekarang (Balai Polis Bagan) dalam proses pemulihan supaya bangunan itu dapat digunakan sepenuhnya.

“Sekarang kita cuba bantu sekolah-sekolah di kawasan Bagan setelah 15 tahun diabaikan dan saya namakannya sebagai tiga R iaitu repair, replace dan restore,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Lawatan Naik Taraf Infrastruktur Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Jermal hari ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam. M.Satees; Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) Muhamad Hafizuddin Mohd. Ridowan dan Guru Besar SK Bagan Jermal, Zainal Ahmad.

Mengulas lanjut, untuk tujuan tersebut Guan Eng menyatakan bahawa sebanyak RM228,800 sudah dibelanjakan bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur SK Bagan Jermal meliputi bumbung bangunan yang menempatkan pelajar pra sekolah, bumbung setor (fasa satu) serta naik taraf kesemua tandas di sekolah tersebut.

Jelasnya, kesemua naik taraf tersebut bermula dari awal tahun bagi fasa satu dan naik taraf tandas bermula sejak Ogos lalu.

“Kita perlu memperbaiki semua bangunan, infrastruktur yang sedia ada supaya ia boleh berfungsi dan boleh digunakan dengan sebaik-baiknya.

“Apa gunanya kalau kita buat bangunan baharu sekiranya kita abaikan yang lama, itu yang selalu saya tegaskan.

“Itulah sebabnya kita perlu pulihkan yang lama sebelum fikir mengenai bina bangunan dan infrastruktur yang baharu kerana ianya lebih penting,” katanya yang juga ADUN Air Putih.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Ganbar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS