Teladani keperibadian Nabi Muhammad SAW dalam semua aspek kehidupan, seru TKMI

Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Zakat Pulau Pinang, Ahmad Fahmi A. Bakar dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul tahun ini.

BUKIT TAMBUN – Umat Islam di negeri ini khususnya dan amnya Malaysia diseru supaya meneladani keperibadian Nabi Muhammad SAW dalam seluruh aspek kehidupan termasuk cara berpolitik, berekonomi, bersosial dan sebagainya.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, konsep ‘rahmatan lil alamin’ sering ditonjolkan Rasulullah SAW sebagai pesuruh Allah SWT melalui komunikasi harian termasuk perhubungan dengan masyarakat bukan Islam.

Wakaf Pulau Pinang mengambil inisiatif menyediakan satu lagi saluran alternatif untuk berwakaf, iaitu melalui sistem ‘direct debit’.

“Piagam Madinah merupakan satu contoh unggul yang diperkenalkan oleh Rasulullah SAW bagi mewujudkan persefahaman dan perpaduan pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan.

“Melalui pendekatan ini, Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh dan cara menunaikan kewajipan sesama manusia,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1441H/2019M dekat Majlis Al-Ihsaniah, Simpang Ampat, di sini, semalam.

Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim serta Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri & Perhubungan Masyarakat berkata, sebagai negara berbilang kaum, Kerajaan Persekutuan juga memperkenalkan gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang menitikberatkan hubungan sesama manusia dengan tujuan saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.

“Walaupun di Malaysia wujud kepelbagaian yang kompleks, namun keharmonian dan perpaduan sentiasa terpelihara serta terjamin melalui persefahaman selain menjunjung prinsip keadilan,” ujarnya.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Sambutan Hari Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Masjid Al-Ihsaniah, simpang Ampat pada 9 November lalu.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang menobatkan Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Zakat Pulau Pinang, Ahmad Fahmi A. Bakar sebagai Tokoh Maulidur Rasul.

Selain itu, Anugerah Khas Qudwatur Rasul Kemasyarakatan disandang oleh Dr. Mohamed Amir Shah Abd. Aziz; Anugerah Khas Qudwatur Rasul Inovasi dan Keusahawanan; Mazwan Noor; Anugerah Khas Qudwatur Rasul Pendidikan, Dr. Ahmad Majdi Yusoff; Anugerah Qudwatur Rasul Shabab, Nor Qaiyum Muhamad dan Anugerah Khas Qudwatur Rasul Saudara Kita, Muhammad Faiz Ghan Abdullah.

Terdahulu, kira-kira 1,000 peserta kontinjen terdiri daripada pelbagai agensi, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kariah masjid menyertai perarakan sejauh dua kilometer bermula dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Impian ke Masjid Al-Ihsaniah dekat sini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : JHEAIPP