RM100 ceriakan keluarga ibu tunggal empat anak

BAYAN BARU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah perungkapan bagi menggambarkan pengorbanan seorang ibu tunggal yang mana terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki bagi menyara empat anaknya selepas kematian suami sejak April lalu.

S. Komathy, 40, sebelum ini tidak pernah bekerja, namun, kini, beliau menyara kehidupan keluarganya dengan gaji sekitar RM400 sebulan sebagai tukang cuci di sebuah bank.

Beliau mengakui jumlah gaji diterima tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka lima beranak. Adakala mereka terpaksa mengikat perut kerana tidak mampu untuk membeli makanan.

Kisah Komathy mendapat perhatian ekoran tindakan beliau melutut di hadapan Ketua Menteri pada majlis penyampaian sumbangan RM100 kepada ibu tunggal dan golongan kelainan upaya (OKU) di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Komathy yang merupakan salah seorang penerima wang sumbangan RM100 Program Penghargaan Ibu Tunggal dan OKU telah melutut di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana tersentuh dengan inisiatif Kerajaan Negeri berhubung pemberian berkenaan.

Menurut adiknya, S. Gunasekaran, 34, kakaknya (Komathy) itu tidak mengetahui siapa yang sebenarnya telah memberi bantuan kepadanya.

“Kakak saya ada beritahu, dia mendapat RM100 daripada ‘orang besar’. Kami semua tertanya-tanya siapakah ‘orang besar’ yang dimaksudkan beliau sehinggalah berita mengenai sumbangan tersebut keluar di suratkhabar.

“Masa itu baru saya tahu ‘orang besar’ itu sebenarnya adalah Tuan Lim Guan Eng,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di rumah Komathy di Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Komathy memberitahu, beliau telah menggunakan wang RM100 untuk membeli sehelai pakaian baru sempena sambutan Deepavali bagi anak bongsunya. Manakala, selebihnya digunakan untuk membeli makanan dan sedikit barang keperluan.

“Saya sangat gembira apabila menerima sumbangan RM100. Saya tahu, bagi orang lain, jumlah itu mungkin sedikit tetapi bagi saya, wang tersebut begitu tinggi nilainya kerana sedikit sebanyak dapat menceriakan anak-anak saya setelah apa yang mereka alami.

“Tak ada orang lain yang boleh bagi sejumlah wang tersebut selain Ketua Menteri,” ujar Komathy yang dikurniakan empat cahaya mata berusia 14 hingga 5 tahun.